“Social Anxiety Disorder & Avoidant Personality Disorder”: Adakah ia datang daripada keluarga?

Gambar Blogpost Social Anxiety Disorder & Avoidant Personality Disorder_ Adakah ia datang daripada keluarga

Kenapa perasaan takut muncul apabila kita berada dalam situasi sosial?

Pernah tak rasa takut untuk bercakap dengan orang lain apabila timbulnya perasaan yang kurang disenangi, antaranya seperti risau dinilai, degup jantung tiba-tiba laju, atau lebih selesa mengelakkan situasi sosial atas sebab tertentu? Sebenarnya, perasaan ini adalah normal dan boleh dialami oleh sesiapa sahaja, terutamanya dalam situasi yang baru. Namun, ada bezanya antara rasa takut biasa dengan kebimbangan yang berpanjangan sehingga boleh mengganggu kehidupan harian. Dalam sesetengah keadaan, kebimbangan ini boleh menjadi lebih serius dan berpanjangan, malah boleh mempengaruhi cara seseorang berfikir dan berinteraksi dengan orang lain.

Keadaan ini tidak berlaku secara tiba-tiba. Personaliti dan cara seseorang menghadapi situasi sosial terbentuk melalui pelbagai faktor seperti pengalaman hidup, persekitaran individu, serta faktor genetik. Kajian menunjukkan bahawa kebimbangan sosial juga boleh berlaku dalam keluarga, yang bermaksud ia berkemungkinan dipengaruhi oleh faktor genetik selain daripada pengalaman hidup dan persekitaran individu itu sendiri. Dalam situasi tertentu, kebimbangan ini boleh muncul dalam tahap yang berbeza, daripada yang lebih ringan hingga lebih serius seperti Social Anxiety Disorder (SAD) dan Avoidant Personality Disorder (AVPD), yang sebenarnya berkait rapat.

Apa Itu Social Anxiety Disorder (SAD)?

Social Anxiety Disorder (SAD) merupakan sejenis gangguan kebimbangan dan keresahan yang berpandukan pada perasaan takut yang melampau terhadap beberapa situasi di mana seseorang mengalami ketakutan yang kuat dan kadang-kadang tidak rasional dalam situasi sosial, terutamanya apabila mereka merasakan diri akan dinilai oleh orang lain dari pelbagai sudut seperti cara berpakaian, cara bercakap, dan tingkah laku. Individu ini sering berasa cemas untuk bercakap di hadapan orang ramai, berinteraksi dengan orang lain atau melakukan perkara yang boleh menarik perhatian.

Walaupun keadaan ini tidak berlaku dalam semua situasi, ia sering muncul dalam situasi sosial tertentu. Perasaan takut ini boleh menjadi sangat kuat, contohnya jantung berdegup laju, berpeluh, tangan menggeletar, fikiran menjadi kosong, atau rasa ingin mengelak terus daripada situasi tersebut, sehingga boleh mengganggu kehidupan harian, hubungan sosial, serta prestasi kerja atau pembelajaran. Ia bukan sekadar rasa takut biasa, tetapi satu keadaan yang lebih mendalam dan berpanjangan.

Apa Itu Avoidant Personality Disorder (AVPD)?

Berbeza dengan Social Anxiety Disorder (SAD), Avoidant Personality Disorder (AVPD) merupakan gangguan personaliti yang melibatkan cara seseorang berfikir, merasa, dan bertindak dalam kehidupan seharian secara lebih menyeluruh dan berpanjangan. Gangguan personaliti bukan hanya berlaku dalam situasi tertentu, tetapi mempengaruhi cara seseorang melihat diri sendiri dan berhubung dengan orang lain dalam banyak keadaan.

Individu dengan AVPD bukan sahaja takut kepada situasi sosial, tetapi juga mempunyai kepercayaan yang kuat bahawa diri mereka tidak cukup baik, tidak menarik, atau tidak layak diterima. Mereka sering merasakan diri lebih rendah berbanding orang lain dan mudah menganggap perkara biasa sebagai satu bentuk penolakan atau kritikan. Walaupun begitu, individu dengan AVPD sebenarnya mempunyai keinginan untuk berkawan dan diterima. Namun, rasa takut ditolak yang terlalu kuat membuatkan mereka lebih memilih untuk menjauhkan diri. Lama-kelamaan, sikap mengelak ini berlaku dalam banyak aspek kehidupan seperti hubungan, pekerjaan, dan interaksi harian.

Berbanding dengan SAD yang biasanya muncul dalam situasi sosial tertentu, AVPD lebih melibatkan cara seseorang melihat diri sendiri secara keseluruhan, sebab itu ia lebih berpanjangan dan memberi kesan yang lebih besar.

Perbezaan antara SAD dan AVPD

Walaupun kedua-dua keadaan ini kelihatan hampir sama, terdapat perbezaan penting antara Social Anxiety Disorder (SAD) dan Avoidant Personality Disorder (AVPD). SAD biasanya lebih tertumpu kepada ketakutan dalam situasi tertentu, manakala AVPD melibatkan keseluruhan corak personaliti seseorang. Dalam kata lain, seseorang dengan SAD mungkin masih mampu membina hubungan rapat dalam keadaan tertentu, tetapi individu dengan AVPD cenderung mengelakkan hampir semua bentuk hubungan kerana kepercayaan yang kurang baik dan negatif terhadap diri sendiri.

Pengaruh Keluarga dan Genetik

Kajian menunjukkan bahawa Social Anxiety Disorder (SAD) bukan berlaku secara kebetulan, tetapi individu berkemungkinan boleh mengalaminya jika terdapat ahli keluarga terdekat seperti ibu bapa atau adik-beradik yang juga mempunyai masalah kebimbangan sosial (Isomura et al., 2014). Malah, semakin rapat hubungan genetik, terdapat kemungkinan risiko tersebut juga meningkat.

Namun begitu, pengaruh genetik bukanlah satu-satunya faktor. Anggaran kajian mencadangkan bahawa kira-kira 56% risiko terhadap SAD mungkin berkait dengan aspek keturunan, manakala selebihnya berkemungkinan dipengaruhi oleh elemen lain seperti pengalaman hidup dan persekitaran individu (Isomura et al., 2014).

Sehubungan itu, kecenderungan genetik sahaja tidak mencukupi untuk menerangkan keadaan ini. Sebaliknya, ia berkemungkinan melibatkan gabungan beberapa punca lain. Dari segi psikologi, pengalaman seperti pernah dikritik, dipermalukan, atau kurang keyakinan diri boleh mempengaruhi cara seseorang melihat diri dan orang lain. Dari segi sosial pula, cara dibesarkan, sokongan keluarga, serta persekitaran sekeliling juga mungkin memainkan peranan dalam membentuk bagaimana seseorang bertindak balas dalam situasi sosial. Selain itu, dari segi biologi, terdapat kemungkinan sesetengah individu lebih sensitif terhadap tekanan atau situasi sosial.

Secara keseluruhannya, keadaan ini menunjukkan bahawa SAD tidak berpunca daripada satu sumber sahaja, tetapi berkemungkinan terbentuk melalui gabungan aspek biologi, psikologi, dan sosial yang saling mempengaruhi.

Pengaruh Pengalaman Hidup

Seterusnya, faktor persekitaran individu yang dikongsi bersama lain seperti cara didikan atau suasana di rumah mungkin tidak begitu kuat jika dibandingkan dengan faktor genetik dan pengalaman hidup individu. Keadaan ini mencadangkan bahawa walaupun seseorang membesar dalam keluarga yang sama, pengalaman hidup yang berbeza seperti dibuli, dimalukan, atau mengalami penolakan sosial berpotensi memberi kesan terhadap perkembangan kebimbangan sosial.

Setiap individu mempunyai cerita hidup yang berbeza. Ada yang pernah melalui pengalaman memalukan di sekolah, ditegur secara kasar di hadapan orang ramai, atau sering berasa tidak diterima dalam kumpulan sosial. Walau bagaimanapun, pengalaman ini tidak semestinya memberi kesan yang sama kepada semua orang. Terdapat kemungkinan bahawa cara individu mentafsir pengalaman tersebut mempengaruhi bagaimana mereka melihat diri sendiri dan situasi sosial di sekeliling mereka. Dalam sesetengah keadaan, pengalaman negatif ini mungkin menyebabkan individu berasa lebih takut untuk berinteraksi atau mula mengelakkan situasi sosial. Namun, ada juga kemungkinan individu lain menunjukkan reaksi yang berbeza seperti menjadi lebih defensif terhadap persekitaran sosial mereka.

Namun begitu, keadaan ini masih boleh berubah. Dengan bantuan seperti terapi, individu mungkin dapat memahami semula pengalaman lalu dan melihatnya dari sudut yang berbeza. Sebagai contoh, dalam Cognitive Behavioral Therapy (CBT), individu boleh belajar mengenal pasti pemikiran negatif yang terbentuk daripada pengalaman tersebut dan secara beransur-ansur membina cara berfikir yang lebih seimbang, sekali gus membantu mereka berdepan dengan situasi sosial dengan lebih yakin (Hofmann et al., 2012).

Hubungan Antara SAD dan AVPD

Selain itu, kajian juga mendapati bahawa terdapat hubungan yang kuat antara Social Anxiety Disorder dan Avoidant Personality Disorder (Isomura et al., 2014). Individu yang mempunyai ahli keluarga yang mempunyai SAD bukan sahaja berisiko untuk mengalami SAD, tetapi kemungkinan lebih tinggi untuk mengalami AVPD. Ini menunjukkan bahawa kedua-dua gangguan ini mungkin berkongsi asas kecendurungan yang sama, dan ada pandangan bahawa AVPD sebenarnya lebih kompleks dan mendalam dari SAD.

Kesimpulan

Kesimpulannya, Social Anxiety Disorder (SAD) dan Avoidant Personality Disorder (AVPD) bukanlah semata-mata hasil daripada kelemahan diri atau sikap individu. Kedua-duanya boleh terbentuk daripada gabungan faktor genetik, pengalaman hidup, dan persekitaran individu sendiri. Apa yang penting adalah memahami bahawa keadaan ini boleh difahami, diurus, dan dirawat dengan sokongan yang betul. Bagi sesiapa yang mengalami masalah berkaitan, hendaklah mendapatkan bantuan daripada profesional kesihatan mental seperti ahli psikologi atau kaunselor bertauliah merupakan langkah yang penting ke arah kehidupan yang lebih seimbang dan sihat.

Jiwadamai juga boleh membantu anda dalam isu psikologi yang dihadapi daripada peringkat kanak-kanak sehinggalah ke dewasa sama ada ia isu kesihatan mental mahupun isu perkembangan kanak-kanak secara holistik kerana ahli klinikal kami terdiri daripada Pakar Psikiatri, Pakar Psikiatri Kanak-Kanak, Psikologis Klinikal, ahli terapi cara kerja (occupational therapist), dan juga ahli terapi pertuturan (speech therapist).

Sekiranya anda rasa ingin berbual atau mendapatkan sokongan, anda boleh hubungi kami melalui talian 017 269 4852 (hotline isu dewasa) dan 011 5430 8949 (hotline isu kanak-kanak & remaja) dan lakukan janji temu bersama kami. Kami sedia membantu anda.

Ditulis oleh : Nur Syafiqah Athirah, pelajar psikologi UTM
Disahkan oleh : Psikologis Klinikal Jiwadamai

Kongsikan artikel ini

Facebook
Twitter
WhatsApp