Waktu Makan Jadi Cabaran? Memahami Anak “Picky Eater”

Blogpost Memahami Anak Picky Eater - Gambar Blogpost Memahami Anak Picky Eater

Budaya picky eater atau tabiat memilih makanan dalam kalangan kanak-kanak merupakan satu fenomena yang sering dibincangkan dalam konteks perkembangan awal kanak-kanak dan keibubapaan. Kanak-kanak picky eater cenderung menolak pelbagai jenis makanan, terutamanya makanan baharu atau yang mempunyai tekstur, bau, dan rasa berbeza. Fenomena ini lazim berlaku pada kanak-kanak berusia dua hingga enam tahun, ketika mereka sedang membina rasa autonomi dan mengekspresikan identiti diri.

Pada peringkat usia ini, kanak-kanak sedang melalui proses perkembangan kognitif, emosi, dan tingkah laku yang pesat, di mana mereka mula membina rasa autonomi serta keinginan untuk membuat pilihan sendiri. Keinginan untuk mengawal apa yang dimakan boleh menjadi salah satu cara kanak-kanak mengekspresikan kebebasan diri dan identiti mereka yang sedang berkembang (Fertycia, 2022).

Walaupun begitu, dalam sesetengah keadaan, tabiat memilih makanan ini boleh menjadi lebih ketara sehingga mengehadkan kepelbagaian makanan yang diambil oleh kanak-kanak, sekaligus menimbulkan kebimbangan terhadap keseimbangan pemakanan mereka (Taylor et al., 2015; Sa’adah, 2023).

Kenapa Anak Jadi Picky Eater?

1. Perkembangan Normal Kanak-Kanak

Tingkah laku memilih makanan ini biasanya bukan disebabkan degil semata-mata, tetapi merupakan sebahagian daripada proses pembelajaran kendiri dan pengurusan emosi. Kanak-kanak yang sedang membina autonomi mungkin menolak makanan baru atau mengekalkan rutin pemakanan yang mereka selesa, kerana ia memberi mereka rasa selamat dan kawalan terhadap dunia mereka.

2. Sensitiviti Deria (Sensory Sensitivity)

Dalam konteks pemakanan, sesetengah kanak-kanak menunjukkan sensitiviti deria yang tinggi terhadap ciri-ciri makanan tertentu, seperti tekstur, bau, atau warna, yang boleh mempengaruhi kesediaan mereka untuk mencuba atau menelan makanan baru (Cermak et al., 2010).

3. Pengalaman Negatif dengan Makanan

Pengalaman negatif seperti pernah tercekik makanan, dipaksa makan atau dimarahi ketika waktu makan, membentuk memori makan yang boleh mempengaruhi persepsi kanak-kanak terhadap makanan, sehingga menyukarkan mereka untuk mencuba makanan baru atau makan dengan tenang.

4. Pengaruh Persekitaran

Jika mereka jarang melihat ahli keluarga atau penjaga makan pelbagai jenis makanan yang seimbang, minat mereka untuk mencuba makanan baru juga akan berkurang (Scaglioni et al., 2018). Persekitaran pemakanan yang positif dan menyokong pembelajaran melalui pemerhatian dapat membantu mengurangkan tabiat picky eating dan membina hubungan yang sihat dengan makanan sejak awal.

5. Pengambilan snek yang berlebihan

Kajian menunjukkan bahawa kanak-kanak yang makan snek sebelum makan utama cenderung mengambil kalori tambahan tetapi kurang menyerap nutrien penting seperti protein, serat, vitamin, dan mineral (Nicklas et al., 2001). Ini boleh menjejaskan pertumbuhan dan perkembangan mereka dalam jangka panjang.

Langkah Menangani Anak Picky Eater

1. Elakkan Memaksa Anak Makan

Memaksa anak makan boleh menyebabkan mereka membina hubungan negatif dengan makanan. Sebaliknya, beri peluang kepada anak untuk mencuba makanan secara perlahan-lahan.

2. Perkenalkan Makanan Baru Secara Berperingkat

Anak mungkin memerlukan masa untuk menerima makanan baru. Cuba perkenalkan makanan tersebut dalam jumlah kecil dan berulang kali. Kadangkala kanak-kanak perlu melihat makanan baru 10 hingga 15 kali sebelum mereka berani mencubanya.

3. Jadikan Waktu Makan Lebih Positif

Cuba wujudkan suasana makan yang santai dan menyeronokkan. Elakkan memarahi atau memberi tekanan kepada anak semasa makan.

4. Libatkan Anak Dalam Penyediaan Makanan

Apabila anak membantu memilih atau menyediakan makanan, mereka lebih cenderung untuk mencuba makanan tersebut. Contohnya:

  • memilih sayur di pasar raya
  • membantu mencuci buah
  • menyusun makanan di pinggan

5. Tunjukkan Contoh Yang Baik

Kanak-kanak belajar melalui pemerhatian. Jika ibu bapa menunjukkan tabiat pemakanan yang sihat, anak juga lebih berkemungkinan untuk menirunya.

Bila Perlu Dapatkan Bantuan Profesional?

Walaupun picky eating adalah perkara biasa, ibu bapa boleh mempertimbangkan mendapatkan nasihat profesional jika:

  • Anak hanya makan beberapa jenis makanan sahaja
  • Berat badan anak tidak meningkat dengan baik
  • Anak menolak hampir semua jenis makanan
  • Waktu makan menjadi sumber tekanan yang berterusan dalam keluarga

Dalam situasi tertentu, bantuan daripada pakar pediatrik, pakar pemakanan, atau ahli terapi perkembangan kanak-kanak boleh membantu mengenal pasti punca sebenar. 

Kesimpulan 

Di sebalik tingkah laku anak yang memilih makanan, sebenarnya terdapat pelbagai faktor perkembangan dan pengalaman yang mempengaruhinya. Dengan pendekatan yang bersabar, positif, dan konsisten, ibu bapa boleh membantu anak membina hubungan yang lebih sihat dengan makanan serta mengurangkan tingkah laku picky eating. Langkah kecil seperti membenarkan anak mencuba makanan baru secara berperingkat sudah boleh menjadi kemajuan besar dalam perkembangan pemakanan mereka.

Jiwadamai menyediakan sokongan untuk pelbagai isu psikologi, daripada kanak-kanak hingga dewasa, sama ada berkaitan kesihatan mental atau perkembangan kanak-kanak secara menyeluruh. Pasukan klinikal kami merangkumi Pakar Psikiatri, Pakar Psikiatri Kanak-Kanak, Psikologi Klinikal, ahli terapi cara kerja (occupational therapist), serta ahli terapi pertuturan (speech therapist).

Sekiranya berminat, anda boleh menghubungi kami di talian 017-269 4852 (hotline isu dewasa) atau 011-5430 8949 (hotline isu kanak-kanak & remaja) untuk membuat janji temu. Kami sedia memberikan bantuan dan sokongan kepada anda.

Ditulis oleh : Qhairunee Saiful, Pelajar Psikologi UPSI
Disahkan oleh : Terapis Cara Kerja Jiwadamai

Kongsikan artikel ini

Facebook
Twitter
WhatsApp