Apa itu Body Dysmorphic Disorder (BDD)?
Body Dysmorphic Disorder (BDD) ialah gangguan mental dimana individu terlalu fokus secara berlebihan dan mempunyai persepsi negatif dengan penampilan fizikal sehingga menjejaskan fungsi harian (Mayo Clinic, 2023). Penghidap BDD sering membandingkan diri, kerap memeriksa cermin, atau cuba menutup “kecacatan” dengan solekan, pakaian, atau prosedur kosmetik (Buali et al., 2024).
Fenomena ini semakin meningkat akibat pengaruh media sosial dan budaya kecantikan yang tidak realistik, terutama dalam kalangan remaja (Veale & Bewley, 2022; Buali et al., 2024). Kajian terkini turut mengaitkan BDD dengan tekanan budaya, kondisi dermatologi, serta penggunaan media sosial berlebihan (Mendoza et al., 2024; Springer, 2024). Selain menjejaskan imej diri, BDD juga dikaitkan dengan kebimbangan, kemurungan, dan kecenderungan melakukan pembedahan kosmetik berulang kali (Nature, 2024).
Faktor-faktor yang Mendorong BDD
1. Faktor Psikologi & Trauma Awal
Sejarah buli, ejekan mengenai rupa, atau trauma zaman kanak-kanak boleh mencetuskan rasa rendah diri yang berkembang menjadi BDD (Nature, 2024).
2. Pengaruh Media Sosial & Budaya Kecantikan
Terpaan imej tubuh “sempurna” di platform seperti TikTok & Instagram menjadikan individu mudah membandingkan diri dan membentuk imej tubuh negatif.
3. Tekanan Budaya & Sosial
Norma kecantikan moden, stereotaip gender, dan tekanan rakan sebaya meningkatkan risiko seseorang obses terhadap penampilan.
4. Faktor Biologi & Genetik
Kajian menunjukkan peranan ketidakseimbangan neurobiologi (seperti serotonin) serta komponen genetik yang meningkatkan kerentanan terhadap BDD (Springer, 2024).
5. Kondisi Dermatologi / Fizikal
Individu dengan masalah kulit (jerawat, vitiligo, psoriasis) atau kecacatan fizikal kecil lebih berisiko kerana mereka lebih fokus kepada kekurangan tersebut (Li et al., 2024).
Kesan Body Dysmorphic Disorder (BDD) terhadap Individu
Body Dysmorphic Disorder (BDD) bukan sekadar rasa tidak puas hati dengan penampilan. Ia adalah gangguan mental yang serius, yang boleh menjejaskan emosi, hubungan sosial, dan kesihatan fizikal bagi penghidapnya. Beban psikologi BDD meluas dari segi kebimbangan dan kemurungan sehingga ke risiko menyakiti diri dan cubaan bunuh diri. Berikut adalah kesan-kesannya:
1. Psikologi & Emosi
Penghidap BDD sering mengalami kebimbangan dan kemurungan yang kronik, sehingga menjejaskan tumpuan belajar atau bekerja. Mereka juga mudah terperangkap dalam obsesi terhadap kecacatan kecil, contohnya menghabiskan berjam-jam di depan cermin atau berulang kali menutup bahagian tubuh tertentu. Dalam kes yang lebih serius, simptom ini dikaitkan dengan pemikiran bunuh diri serta peningkatan risiko cubaan bunuh diri (Rück et al., 2024; Lebel et al., 2024).
2. Sosial & Hubungan
BDD turut menjejaskan hubungan dengan orang lain. Ramai penghidap memilih mengasingkan diri kerana yakin penampilan mereka menjadi perhatian atau kritikan, menyebabkan sokongan sosial berkurangan. Dalam hubungan intim, salah faham dan konflik boleh berlaku apabila pasangan tidak memahami obsesi yang dialami. Kajian terkini juga mendapati remaja dengan BDD mengalami sokongan rakan sebaya yang lebih rendah serta lebih terdedah kepada tekanan media sosial, yang memperburuk perasaan tidak puas hati terhadap tubuh (Fang et al., 2024).
3. Kesihatan Mental & Fizikal
Selain aspek emosi dan sosial, BDD turut membawa kesan serius terhadap kesihatan. Ia sering hadir bersama gangguan makan, seperti diet ekstrem atau bulimia, yang membahayakan tubuh (Lebel et al., 2024; Phillips et al., 2024). Ramai juga menunjukkan tingkah laku menyakiti diri, terutamanya apabila perasaan kecewa terhadap rupa semakin mendalam (Rück et al., 2024). Satu lagi kesan yang kerap dilaporkan ialah kecenderungan menjalani pembedahan kosmetik berulang kali; malangnya, rasa tidak puas hati jarang reda kerana masalah sebenar terletak pada persepsi diri, bukan penampilan fizikal semata-mata (Phillips et al., 2024).
Langkah-langkah Mencegah BDD
1. Pendidikan & Kesedaran Awal
- Memberi pendedahan tentang BDD di sekolah, universiti, dan media bagi membantu remaja memahami risiko imej tubuh negatif.
- Pendidikan literasi media juga penting agar individu mampu menilai kandungan media sosial secara kritikal (Buali et al., 2024).
2. Pengurusan Media Sosial
- Menghadkan masa skrin dan mengurangkan pendedahan kepada kandungan kecantikan tidak realistik.
- Mengikuti akaun yang mempromosikan body positivity dan kesihatan mental (Ateq et al., 2024).
3. Sokongan Psikologi & Kaunseling
- Kaunseling awal boleh membantu individu yang mula menunjukkan tanda obsesi terhadap penampilan.
- Cognitive Behavioral Therapy (CBT) terbukti berkesan untuk mencegah perkembangan simptom menjadi lebih serius (Patel et al., 2024).
4. Sokongan Sosial & Keluarga
- Dorongan daripada keluarga dan rakan sebaya mengurangkan risiko rasa rendah diri atau membandingkan diri secara berlebihan (Mendoza et al., 2024).
5. Gaya Hidup Sihat
- Mengamalkan pemakanan seimbang, senaman secara sihat (bukan obsesif), dan tidur cukup bagi meningkatkan kesejahteraan psikologi.
- Aktiviti ini membantu membina keyakinan diri serta mengurangkan tekanan emosi (Nature, 2024).
Kesimpulan
Body Dysmorphic Disorder (BDD) bukan sekadar isu penampilan, tapi gangguan mental serius yang dipengaruhi trauma, cara otak berfungsi, serta tekanan budaya & media. Ia boleh menjejaskan keyakinan, hubungan sosial, dan kesejahteraan hidup seseorang. Namun, dengan kesedaran awal, sokongan psikologi, dan penggunaan media yang lebih sihat, BDD boleh dicegah dan diurus. Yang paling penting, kita belajar menghargai diri melebihi apa yang dipantulkan oleh cermin atau media sosial.
Jiwadamai juga boleh membantu anda dalam isu psikologi yang dihadapi daripada peringkat kanak-kanak sehinggalah ke dewasa sama ada ia isu kesihatan mental mahupun isu perkembangan kanak-kanak secara holistik kerana ahli klinikal kami terdiri daripada Pakar Psikiatri, Pakar Psikiatri Kanak-Kanak, Psikologis Klinikal, ahli terapi cara kerja (occupational therapist), dan juga ahli terapi pertuturan (speech therapist).
Jikalau tidak keberatan, anda boleh hubungi kami melalui talian 017 269 4852 (hotline isu dewasa) dan 011 5430 8949 (hotline isu kanak-kanak & remaja) dan lakukan janji temu bersama kami. Kami sedia membantu anda.
Ditulis oleh : Zarifah Umairah , pelajar psikologi UNISEL
Disahkan oleh : Psikologis Klinikal Jiwadamai