Kebimbangan Perpisahan Pada Anak Kecil : Normal Atau Perlu Untuk Risau

Gambar Blogpost Kebimbangan Perpisahan Pada Anak Kecil Normal Atau Perlu Untuk Risau

Bila anak menangis setiap kali ibu atau ayah nak keluar rumah, ramai ibu bapa mula rasa bersalah. Ada yang fikir anak terlalu manja. Ada juga yang risau takut anak ada masalah emosi. Sebenarnya, dalam kebanyakan kes, separation anxiety adalah fasa perkembangan yang normal.

Menurut perkongsian daripada Zero to Three National Center for Infants, Toddler and Families, separation anxiety biasanya muncul sekitar umur 8 bulan hingga 3 tahun dan ia adalah tanda bahawa anak sedang membina hubungan emosi yang sihat dengan penjaga utama mereka.

Apa Itu Separation Anxiety?

Separation anxiety ialah perasaan takut, cemas atau tidak selamat apabila anak berpisah dengan individu yang paling rapat dengan mereka, selalunya ibu atau ayah. Pada usia ini, perkembangan otak anak semakin matang. Mereka sudah;

  • Mengenali siapa “orang selamat” mereka
  • Faham bahawa ibu atau ayah boleh pergi
  • Tetapi belum sepenuhnya faham bahawa ibu pasti akan kembali

Inilah sebabnya mereka menangis bukan kerana degil, tetapi kerana takut kehilangan rasa selamat.

Kenapa Fasa Ini Penting?

Walaupun nampak mencabar, separation anxiety sebenarnya menunjukkan bahawa:

  • Anak mempunyai attachment yang sihat
  • Mereka mampu membina hubungan emosi bersama orang lain
  • Perkembangan kognitif dan memori mereka sedang berkembang

Dalam teori attachment yang diperkenalkan oleh John Bowlby, hubungan awal antara anak dan penjaga sangat penting untuk membentuk rasa keselamatan dalaman (internal security). Anak yang mempunyai attachment selamat lebih cenderung menjadi individu yang yakin dan berdikari apabila membesar.

Tanda-Tanda Separation Anxiety

Setiap anak berbeza, tetapi antara tanda yang biasa termasuk:

  • Menangis apabila ibu atau ayah keluar
  • Tidak mahu berpisah ketika dihantar ke tadika
  • Melekat atau sentiasa mahu dipeluk
  • Bangun malam mencari ibu atau ayah
  • Takut kepada orang yang tidak dikenali

Biasanya, reaksi ini berkurang apabila anak mula rasa yakin dengan rutin baru.

Apa Yang Ibu Bapa Boleh Lakukan?

Berikut beberapa cara membantu anak menghadapi perpisahan dengan lebih tenang:

1. Memberitahu anak sebelum meninggalkannya

Elakkan “menghilang” secara senyap. Walaupun niat untuk elak anak menangis, tindakan ini boleh menjejaskan kepercayaan anak.

2. Wujudkan Rutin Perpisahan

Contohnya: peluk, cium dan ayat yang sama setiap hari seperti “Ibu pergi kerja dulu, nanti ibu datang semula ambil awak.” Rutin seperti ini membantu emosi anak rasa lebih selamat.

3. Kekal Tenang

Anak sangat peka terhadap emosi ibu bapa. Jika kita kelihatan gelisah atau bersalah, mereka akan rasa lebih cemas.

4. Elak Memanjangkan Perpisahan

Perpisahan yang terlalu lama boleh membuatkan anak lebih sukar untuk melepaskan ibu/ayah kemudian hari.

Bilakah Ibu Bapa Perlu Mula Risau?

Walaupun separation anxiety adalah normal, ibu bapa boleh pertimbangkan untuk mendapatkan pandangan pakar jika:

  • Tangisan terlalu melampau dan berlarutan berbulan-bulan
  • Anak langsung tidak boleh berfungsi tanpa ibu atau ayah
  • Ganggu makan, tidur dan perkembangan sosial
  • Anak menunjukkan ketakutan melampau terhadap semua situasi perpisahan

Dalam kes tertentu, ia mungkin berkait dengan anxiety disorder yang memerlukan sokongan profesional.

Kesimpulan

Anak yang menangis bila berpisah bukan anak manja. Mereka sedang belajar tentang kepercayaan, keselamatan dan perhubungan. Separation anxiety bukan tanda kelemahan malah ia adalah tanda anak sedang membina asas emosi yang kuat. Dengan kesabaran, konsistensi dan sokongan ibu bapa, anak akan belajar bahawa walaupun ibu/ayah meninggalkannya, mereka boleh kembali.

Jiwadamai juga boleh membantu anda dalam isu psikologi yang dihadapi daripada peringkat kanak-kanak sehinggalah ke dewasa sama ada ia isu kesihatan mental mahupun isu perkembangan kanak-kanak secara holistik kerana ahli klinikal kami terdiri daripada Pakar Psikiatri, Pakar Psikiatri Kanak-Kanak, Psikologis Klinikal, ahli terapi cara kerja (occupational therapist), dan juga ahli terapi pertuturan (speech therapist).

Sekiranya anda rasa ingin berbual atau mendapatkan sokongan, anda boleh hubungi kami melalui talian 017 269 4852 (hotline isu dewasa) dan 011 5430 8949 (hotline isu kanak-kanak & remaja) dan lakukan janji temu bersama kami. Kami sedia membantu anda.

Sekiranya anda rasa ingin berbual atau mendapatkan sokongan, anda boleh hubungi kami melalui talian 017 269 4852 (hotline isu dewasa) dan 011 5430 8949 (hotline isu kanak-kanak & remaja) dan lakukan janji temu bersama kami. Kami sedia membantu anda.

Ditulis oleh : Putri Nuralea Aniera, Pelajar Psikologi UNITAR
Disahkan oleh : Psikologis Klinikal Jiwadamai

Kongsikan artikel ini

Facebook
Twitter
WhatsApp