Adakah Anda Seorang “People Pleaser”?

Gambar Blogpost Adakah anda seorang People Pleaser

Orang ramai sering berfikir menjadi baik dan sentiasa membantu adalah perkara yang positif, tetapi lama-kelamaan, anda akan mula mengabaikan keperluan dan perasaan sendiri dan ia boleh memberi kesan negatif kepada mental dan kesejahteraan diri sendiri. Tingkah laku ini boleh menyebabkan tekanan, rasa tidak dihargai, dan keletihan emosi.

Oleh itu, penting untuk kita mengenali tanda-tanda awal tingkah laku ini supaya kita lebih peka terhadap diri sendiri. Artikel ini akan membincangkan beberapa tanda yang sering dialami oleh individu yang mempunyai tanda-tanda people pleaser.

Apakah itu People Pleaser?

People pleaser bermaksud manusia yang sering bersusah payah untuk memenuhi ekspektasi dan menyenangkan perasaan orang lain. Kebiasaannya, individu yang mempunyai ciri-ciri people pleaser merasakan diri mereka akan lebih dihargai dan diterima oleh orang lain kerana usaha yang mereka lakukan untuk memenuhi keperluan dan perasaan orang sekeliling mereka. Namun, mereka kerap berasa letih kerana memendam perasaan yang tidak puas hati terhadap pihak yang lain. Ini akan mengakibatkan mereka menjadi terlalu penat dari segi fizikal dan emosi sehingga tidak mempunyai kemampuan untuk memenuhi keperluan diri sendiri.

Tanda-Tanda People Pleaser

1. Berasa cemas terhadap pandangan dan penilaian orang lain terhadap diri anda. 

Ini adalah salah satu tanda yang sangat biasa untuk orang mempunya ciri people pleaser. Mereka sering merasa cemas terhadap penilaian dan pendapat orang lain tentang mereka. Perasaan ini biasa datang dari sikap rendah diri hingga mereka sanggup mengubah diri sebenar untuk menyesuaikan diri dengan ekspektasi orang lain.

2. Sering meminta maaf untuk perkara yang tidak perlu.

Terlalu kerap meminta maaf juga adalah salah satu ciri yang kerap dilakukan oleh individu people pleaser. Mereka mungkin meminta maaf atas perkara yang sebenarnya tiada kaitan dengan tindakan mereka.

3. Tidak mampu berkata tidak

Mengata tidak di dalam situasi yang sesuai adalah sikap yang sihat untuk diri sendiri kerana ia menunjukkan perasaan kehormatan kepada diri sendiri. Mereka yang mempunyai sikap people pleaser susah menolak untuk memberi pertolongan kepada orang lain walaupun ia memberi kesusahan dan tekanan kepada diri sendiri.

4. Tidak berkongsi perasaan dengan orang lain.

Mereka mungkin menyimpan perasaan yang sebenar untuk mengelak dari menyakiti hati orang lain dan konflik antara satu sama lain. Mereka utamakan perasaan orang lain dengan memendam perasaan dan pendapat diri sendiri dan ini boleh menimbulkan emosi kecewa dan tekanan.

5. Mempunyai perasaan rendah diri

Orang yang mempunyai sikap people pleaser sering mempunyai sejarah kemurungan, anxiety, atau kebimbangan emosi yang membawa kepada perasaan rendah diri. Sukar untuk menetapkan batasan yang sihat kerana individu people pleaser sangat takut mengecewakan orang lain.

6. Sering dipergunakan oleh orang lain

Membiarkan orang lain mengambil kesempatan adalah tanda jelas sikap people pleasing. Individu mempunyai kesukaran untuk menetapkan batasan yang sihat kerana takut mengecewakan orang lain.

Kesimpulan

Kesimpulannya, sikap people pleasing mungkin dilihat seperti sesuatu kebaikan tetapi jika dilakukan secara berlebihan, ia boleh memberi kesan negatif kepada mental dan emosi seseorang. Perasaan tertekan, letih emosi, dan kurang keyakinan diri adalah antara kesan yang sering dialami oleh individu yang mempunyai ciri-ciri ini. Individu harus ingat untuk mengenali tanda-tanda ‘people pleaser’ sejak awal lagi supaya dapat belajar menghargai diri sendiri dan mengambil langkah untuk mencapai kesejahteraan emosi dan kehidupan yang seimbang. 

Jiwadamai juga boleh membantu anda dalam isu psikologi yang dihadapi daripada peringkat kanak-kanak sehinggalah ke dewasa sama ada ia isu kesihatan mental mahupun isu perkembangan kanak-kanak secara holistik kerana ahli klinikal kami terdiri daripada Pakar Psikiatri, Pakar Psikiatri Kanak-Kanak, Psikologis Klinikal, ahli terapi cara kerja (occupational therapist), dan juga ahli terapi pertuturan (speech therapist).

Sekiranya anda rasa ingin berbual atau mendapatkan sokongan, anda boleh hubungi kami melalui talian 017 269 4852 (hotline isu dewasa) dan 011 5430 8949 (hotline isu kanak-kanak & remaja) dan lakukan janji temu bersama kami. Kami sedia membantu anda.

Ditulis oleh : Iman Zuleikha , Pelajar Psikologi International Islamic College
Disahkan oleh : Psikologis Klinikal Jiwadamai

Kongsikan artikel ini

Facebook
Twitter
WhatsApp