Pernahkah anda menjumpai seseorang yang sering mementingkan diri sendiri, mengangumi diri secara berlebihan dan memandang rendah kepada orang lain? Individu ini boleh berada di kalangan keluarga atau rakan-rakan. Sifat mementingkan atau membanggakan diri ialah perkara biasa, tetapi apabila ia berlaku secara berlebihan, ia mampu memberi kesan negatif kepada diri dan hubungan sosial bersama orang lain. Dalam sesetengah keadaan, ciri-ciri ini bukan sekadar sifat personaliti tetapi boleh menjadi petunjuk kepada satu gangguan yang dikenali sebagai Narcissistic Personality Disorder (NPD). Individu dengan ciri ini biasanya mempunyai cara berfikir dan bertingkah laku yang dipandu oleh keperluan untuk dikagumi serta kesukaran memahami perasaan orang lain.
Apakah itu Narcissistic Personality Disorder?
Narcissistic Personality Disorder (NPD) merujuk kepada gangguan personaliti yang dicirikan oleh corak pemikiran, emosi dan tingkah laku yang berpusat pada diri sendiri, keinginan kuat untuk dikagumi, serta kesukaran menunjukkan empati terhadap orang lain. Ia biasanya bermula pada awal dewasa dan boleh memberi kesan besar kepada hubungan, kerjaya, dan kesejahteraan individu. Menurut Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorders, Fifth Edition (DSM-5), NPD ditentukan apabila seseorang memenuhi sekurang-kurangnya lima daripada sembilan kriteria yang ditetapkan.
Kriteria-kriteria NPD Berdasarkan DSM-5
1. Mempunyai rasa kepentingan diri yang melampau (grandiosity)
Individu NPD sering melebih-lebihkan pencapaian serta bakat mereka. Mereka mengharapkan diri diiktiraf sebagai luar biasa walaupun pencapaian sebenar tidak sepadan. Sifat ini membuatkan mereka mudah rasa tersinggung apabila tidak mendapat pujian seperti yang diharapkan.
2. Terlalu obses dengan fantasi kejayaan, kuasa, kehebatan, kecerdasan atau cinta ideal
Mereka sering membayangkan diri mencapai kejayaan besar, memiliki kuasa, kecerdasan, atau hubungan romantik yang sempurna. Fantasi ini digunakan sebagai cara mengekalkan imej diri yang hebat walaupun realiti tidak selalunya selari dengan diri mereka. Sebagai contoh, seorang individu membayangkan dirinya akan menjadi jutawan dan terkenal dalam masa terdekat tetapi tidak mengambil inisiatif yang realistik untuk mencapai apa yang diingini.
3. Percaya bahawa diri istimewa dan hanya boleh difahami oleh orang berstatus tinggi
Individu NPD menganggap mereka hanya layak bergaul dengan orang yang mempunyai kedudukan, status atau prestasi luar biasa. Mereka merasakan diri terlalu istimewa untuk difahami oleh “orang biasa,” dan ini sering memberi jarak dalam hubungan sosial dengan orang sekeliling. Misalnya, individu NPD tersebut enggan bergaul dengan orang lain melainkan orang tersebut berpangkat tinggi seperti doktor, peguam, professor dan sebagainya.
4. Mendambakan pujian dan perhatian yang berlebihan
Mereka mempunyai keinginan tinggi dalam mendapat pujian dan disanjung oleh orang ramai. Apabila tidak mendapat perhatian yang diingini, mereka boleh menjadi marah, tersinggung, atau menjadi defensive terhadap reaksi tersebut.
5. Rasa kepentingan diri (entitled) yang kuat
Individu NPD percaya mereka layak menerima layanan istimewa dan mengharapkan orang lain memenuhi kehendak mereka. Mereka menjadi kurang bersabar atau marah apabila mereka tidak menerima layanan istimewa atau kehendak mereka tidak dipenuhi. Sebagai contoh, individu NPD memotong barisan semasa beratur kerana rasa dirinya ‘lebih penting’, tetapi apabila orang lain tidak memberi ruang kepada mereka, mereka menjadi berang kerana kehendak mereka tidak dicapai.
6. Mengeksploitasi orang lain demi kepentingan sendiri
Tambahan pula, mereka juga sering mengeksploitasi orang lain demi kepentingan peribadi. Mereka mungkin menggunakan orang lain untuk naik pangkat, mendapatkan perhatian, atau mengekalkan imej diri tanpa mengambil kira kesan emosi terhadap orang sekeliling. Sebagai contoh, individu NPD mempergunakan ‘kawan’ dia untuk membuat kerja bagi pihaknya dan pada akhirnya, dia dapat menaikkan imej dirinya sendiri, meskipun kerja tersebut merupakan hasil usaha orang lain.
7. Kurang empati
Mereka sukar memahami atau mengambil kira perasaan, keperluan mahupun pengalaman orang lain. Kekurangan empati menjadikan interaksi mereka sering bersifat satu hala (berpaksikan diri sendiri sahaja), menyebabkan orang lain berasa diabaikan atau dimanfaatkan. Contohnya, individu NPD mungkin kurang memahami mengapa orang lain kecewa apabila perasaan mereka tidak diendahkan. Bagi mereka, perasaan atau pengalaman orang lain kurang penting daripada mereka sendiri.
8. Sering berasa iri hati atau percaya orang lain iri hati terhadap mereka
Individu NPD mudah cemburu terhadap kejayaan orang lain, tetapi dalam masa yang sama percaya bahawa orang lain iri hati terhadap mereka. Ini mengekalkan pandangan bahawa diri mereka lebih hebat atau lebih layak.
9. Menunjukkan tingkah laku dan sikap yang angkuh, sombong atau menghina
Pertuturan dan tingkah laku mereka sering kelihatan merendahkan orang lain. Mereka mungkin bersikap sombong, sarkastik, atau memperlekehkan orang yang mereka anggap kurang hebat.
Kesan Narcissistic Personality Disorder
Individu dengan NPD mungkin kelihatan yakin, dominan dan berprestij, namun hakikatnya harga diri mereka sangat rapuh. Kebergantungan terhadap pujian menjadikan mereka sensitif terhadap kritikan atau kegagalan. Hubungan interpersonal sering tegang kerana sifat eksploitasi, kurang empati, dan keperluan untuk dikagumi.
Di tempat kerja, mereka mungkin menunjukkan potensi tinggi, tetapi prestasi boleh merosot apabila berdepan tekanan, persaingan atau keperluan untuk bekerjasama.
Rawatan Mencegah Narcissistic Personality Disorder
Psikoterapi merupakan rawatan utama bagi individu dengan NPD. Ia bertujuan membantu mereka memahami diri, mengurus emosi dengan lebih matang, dan membina hubungan interpersonal yang lebih sihat. Secara keseluruhan, terapi membantu individu NPD mengekalkan fungsi hidup yang stabil dan adaptif. Antara tujuan psikoterapi dalam merawat individu NPD termasuk membantu individu memahami corak pemikiran dan tingkah laku. Ramai individu NPD tidak menyedari bagaimana tingkah laku mereka memberi kesan negative kepada orang lain. Dengan psikoterapi, ia membantu individu tersebut untuk mengenal pasti corak kepentingan diri yang melampau dan memahami bagaimana tingkah laku tersebut boleh memberi kesan terhadap hubungan, kerjaya dan diri sendiri.
Kesimpulan
NPD ialah gangguan yang kompleks dan sering disalah fahami. Dengan memahami sembilan kriteria DSM-5, kita dapat melihat bahawa di sebalik keyakinan dan sikap sombong, terdapat individu yang berjuang dengan harga diri rapuh dan ketidakupayaan mengurus hubungan secara sihat. Melalui intervensi yang tepat, individu dengan NPD boleh belajar membina hubungan lebih stabil, meningkatkan empati, serta menyesuaikan diri dengan realiti secara lebih matang.
Jiwadamai juga boleh membantu anda dalam isu psikologi yang dihadapi daripada peringkat kanak-kanak sehinggalah ke dewasa sama ada ia isu kesihatan mental mahupun isu perkembangan kanak-kanak secara holistik kerana ahli klinikal kami terdiri daripada Pakar Psikiatri, Pakar Psikiatri Kanak-Kanak, Psikologis Klinikal, ahli terapi cara kerja (occupational therapist), dan juga ahli terapi pertuturan (speech therapist).
Sekiranya anda rasa ingin berbual atau mendapatkan sokongan, anda boleh hubungi kami melalui talian 017 269 4852 (hotline isu dewasa) dan 011 5430 8949 (hotline isu kanak-kanak & remaja) dan lakukan janji temu bersama kami. Kami sedia membantu anda.
Ditulis oleh : Khairun Nadzirah, Pelajar Psikologi MSU
Disahkan oleh : Psikologis Klinikal Jiwadamai





