Terapi kanak-kanak merangkumi pelbagai pendekatan psikologi dan pendidikan yang bertujuan membantu perkembangan emosi, sosial, kognitif dan tingkah laku. Ibu bapa memainkan peranan yang sangat penting dalam kejayaan terapi kerana mereka adalah orang-orang yang paling dekat dengan kanak-kanak dari segi emosi dan persekitaran harian. Artikel ini
membincangkan beberapa aspek bagaimana ibu bapa boleh terlibat dalam terapi untuk kanak-kanak, implikasi, cabaran dan saranan.
Peranan Ibu Bapa
1. Kerjasama dalam Penilaian dan Perancangan Terapi
Ibu bapa sering diminta untuk memberikan maklumat latar belakang, sejarah perkembangan serta pemerhatian tingkah laku anak di rumah. Maklumat ini membantu ahli terapi dalam membuat penilaian yang holistik.
Contoh: Dalam Terapi Interaksi Ibu Bapa-Anak (Parent-Child Interaction Therapy; PCIT), ibu bapa terlibat secara langsung dalam sesi bermain bersama anak untuk memahami corak tingkah laku kanak-kanak dan menetapkan matlamat terapi yang sesuai.
2. Mengaplikasikan Teknik Terapi di Rumah
Terapi tidak terhad kepada sesi di klinik atau pusat terapi sahaja. Untuk memastikan keberkesanan , teknik-teknik yang dipelajari biasanya perlu diamalkan di rumah oleh ibu bapa.
Contoh: Terapi Filial ialah pendekatan psiko-pendidikan yang melatih ibu bapa menjalankan sesi bermain berstruktur bersama anak, sebagai satu komponen terapeutik di rumah. Kajian di Malaysia menunjukkan bahawa ibu yang mengikuti Terapi Filial mengalami peningkatan dalam gaya keibubapaan serta kualiti dan hubungan ibu-anak.
3. Sokongan Emosi dan Motivasi
Ibu bapa berperanan penting sebagai penyokong emosi anak yang sedang menjalani terapi. mungkin berasa kecewa apabila tidak mencapai matlamat dengan cepat atau ketika berdepan dengan stigma sosial. Ibu bapa yang menunjukkan empati dan
memberi galakan dapat meningkatkan motivasi dan kepatuhan anak terhadap sesi terapi dan seterusnya meningkatkan kesejahteraan emosi psikologi anak.
4. Pengurusan Tingkah Laku dan Disiplin
Bagi kanak-kanak dengan masalah tingkah laku, keberkesanan terapi benyak bergantung pada keupayaan ibu bapa dalam menegakkan peraturan, menetapkan batasan (boundaries) dan memberi ganjaran atau konsenkuasi yang sesuai PCIT ibu
bapa dilatih untuk menetapkan jangkaan yang jelas dan disiplin yang konsisten. Keibubapaan yang autoritatif iaitu seimbang antara kehangatan dan kawalan, terbukti lebih berkesan dalam membantu pengurusan tingkah laku berbanding gaya yang sangat permisif atau autoritarian ekstrem.
5. Penglibatan Aktif dan Konsistensi
Kejayaan terapi bergantung pada sejauh mana ibu bapa terlibat secara aktif dan konsisten dalam proses intervensi. Ini termasuk menghadiri sesi terapi, melakukan latihan di rumah, memantau kemajuan anak serta berkomunikasi dengan ahli terapi.
Kajian mendapati bahawa apabila ibu bapa terlibat secara aktif secara terapi tingkah laku kognitif (CBT) bagi kanak-kanak dengan penyakit fizikal kronik menunjukkan bahawa apabila ibu bapa aktif mengambil bahagian, terdapat peningkatan yang ketara dalam kemahiran pengurusan tingkah laku dan keadaan mental mereka sendiri.
Implikasi
- Penglibatan ibu bapa yang aktif, memperkukuh keberkesanan terapi kerana intervensi dapat diterapkan dalam konteks kehidupan harian, bukan sesi terapi sahaja.
- Hubungan menjadi lebih positif, sekaligus meningkatkan keyakinan diri dan kestabilan emosi anak.
- Penglibatan awal dapat membantu mencegah perkembangan masalah di kemudian hari.
Cabaran
- Kekurangan pengetahuan psikologi atau kemahiran terapeutik boleh menyukarkan ibu bapa memahami dan mengaplikasikan teknik dengan tepat.
- Tekanan masa dan komitmen pekerjaan menyukarkan penyertaan ibu bapa dalam sesi terapi atau pelaksanaan latihan di rumah.
- Stres atau masalah kesihatan mental dalam kalangan ibu bapa sendiri boleh mengurangkan keberkesanan sokongan yang diberikan.
Saranan
1. Psiko-pendidikan kepada Ibu Bapa
Menyediakan latihan atau bengkel mengenai asas perkembangan kanak kanak, teknik disiplin yang positif, kaedah bermain teraputik dan cara mengenalpasti tingkah laku bermasalah sejak awal.
2. Bimbingan Berterusan oleh Ahli Terapi
Ahli terapi (psikologi klinikal, psikologi pendidikan atau kaunselor) disaran memantau dan memberi maklum balas berterusan terhadap pelaksanaan strategi oleh ibu bapa di rumah.
3. Mudah Diakses
Menawarkan bentuk terapi fleksibel seperti sesi dalam talian atau sesi di luar waktu pejabat bagi memudahkan ibu bapa yang sibuk bekerja.
4. Sokongan Komuniti dan Peer Support
Menubuhkan kumpulan sokongan ibu bapa bagi membolehkan perkongsian pengalaman, strategi, dan dorongan moral antara satu sama lain.
5. Mengurangkan Stigma
Meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan intervensi psikologi dan terapi awal agar ibu bapa tidak takut mendapatkan bantuan profesional.
Kesimpulan
Ibu bapa merupakan rakan kongsi utama dalam terapi kanak-kanak. Tanpa penglibatan dan sokongan mereka, terapi mungkin tidak mencapai hasil yang optimum. Melalui pemahaman, latihan, komunikasi dan konsistensi, ibu bapa boleh memainkan peranan besar dalam membantu kanak-kanak mengatasi cabaran perkembangan serta mencapai kesejahteraan
emosi, sosial dan tingkah laku yang seimbang.
Jiwadamai juga boleh membantu anda dalam isu psikologi yang dihadapi daripada peringkat kanak-kanak sehinggalah ke dewasa sama ada ia isu kesihatan mental mahupun isu perkembangan kanak-kanak secara holistik kerana ahli klinikal kami terdiri daripada Pakar Psikiatri, Pakar Psikiatri Kanak-Kanak, Psikologis Klinikal, ahli terapi cara kerja (occupational therapist), dan juga ahli terapi pertuturan (speech therapist).
Jikalau tidak keberatan, anda boleh hubungi kami melalui talian 017 269 4852 (hotline isu dewasa) dan 011 5430 8949 (hotline isu kanak-kanak & remaja) dan lakukan janji temu bersama kami. Kami sedia membantu anda.
Ditulis oleh : Alya Insyirah, Pelajar Psikologi UNISEL
Disahkan oleh : Psikologis Klinikal Jiwadamai