Budaya cancel atau cancel culture merujuk kepada tindakan masyarakat, terutamanya di platform media sosial, yang memboikot, mengecam, atau menolak seseorang individu atau organisasi yang dianggap melakukan kesalahan moral, sosial, atau etika. Tindakan ini sering dilakukan dengan cara penyebaran kritikan secara terbuka, tuntutan permohonan maaf, serta seruan kepada orang ramai untuk menghentikan sokongan terhadap pihak yang “di-cancel” (Balibrea, 2022).
Fenomena ini semakin berkembang dengan pesat seiring dengan kemunculan dan pengaruh platform digital seperti Twitter, Instagram, dan TikTok, yang membolehkan pandangan serta suara masyarakat dapat disebarkan secara meluas dan serta-merta. Pada asalnya, budaya cancel dilihat sebagai satu bentuk keadilan sosial yang berfungsi untuk menegakkan akauntabiliti terhadap tindakan tidak wajar, diskriminasi, serta penyalahgunaan kuasa oleh tokoh awam. Namun kini, ia sering disalahgunakan sebagai alat untuk menjatuhkan reputasi seseorang tanpa asas bukti yang kukuh atau tanpa memberikan ruang bagi individu tersebut mempertahankan diri (Carlsson, 2022).
Dalam konteks semasa, budaya cancel tidak lagi terbatas kepada selebriti dan tokoh awam, tetapi turut memberi kesan kepada individu biasa, seperti pelajar, pekerja awam, dan pengguna media sosial secara umum. Perkara ini menimbulkan persoalan sama ada budaya cancel benar-benar berfungsi sebagai mekanisme menegakkan keadilan atau sebaliknya sekadar mencetuskan ketakutan, kebencian, dan perpecahan dalam masyarakat moden.
Faktor-Faktor yang Menyumbang kepada Budaya Cancel
1. Kekuatan Media Sosial dan Akses Maklumat Segera
Kemunculan media sosial telah memberi kuasa kepada pengguna untuk bersuara serta menyebarkan maklumat dengan mudah dan meluas. Dalam era di mana maklumat dapat tersebar hanya dalam beberapa saat, ramai pengguna bertindak berlandaskan emosi tanpa menilai kesahihan sumber atau konteks sebenar sesuatu isu. Hal ini menjadikan media sosial sebagai alat utama yang memperkukuhkan penyebaran dan keberkesanan budaya cancel (Almosa, 2023).
2. Norma Moral dan Tekanan Sosial
Dalam masyarakat digital masa kini, pengguna sering terdorong untuk menonjolkan imej diri sebagai individu yang bermoral tinggi atau “beretika”. Keinginan ini menyebabkan mereka lebih cenderung untuk menyertai budaya cancel bagi menunjukkan solidariti terhadap keadilan sosial tanpa memahami konteks sebenar sesuatu keadaan (Verbruggen, 2022).
3. Kurangnya Literasi Digital dan Pemikiran Kritis
Individu yang tidak mempunyai kemahiran menilai kesahihan sumber maklumat atau memahami manipulasi digital akan lebih mudah terpengaruh dengan naratif palsu dan suntingan yang menyeleweng. Kandungan seperti berita palsu, petikan yang diambil di luar konteks, atau video yang disunting secara selektif sering mencetuskan kecaman tanpa asas kukuh. Kekurangan literasi digital dan pemikiran kritis ini menyumbang kepada penyebaran budaya cancel yang tidak berasas (Carlsson, 2022).
4. Pengaruh Emosi Kolektif dan Efek Domino
Emosi dalam ruang siber sangat mudah tersebar antara pengguna. Apabila sekumpulan pengguna memulakan kecaman terhadap seseorang, pengguna lain akan terdorong untuk turut serta bagi menunjukkan sokongan moral atau sekadar mengikuti trend. Fenomena ini dikenali sebagai efek domino dalam tingkah laku digital, di mana reaksi emosi kolektif mempercepat penyebaran budaya cancel (Munteanu, 2023).
Ciri-Ciri Masyarakat Yang Mudah Terlibat Dalam Budaya Cancel
1. Cenderung Bertindak Mengikut Emosi daripada Fakta
Individu yang cepat marah atau mudah tersinggung terhadap isu moral dan sosial sering menjadi penyumbang utama kepada budaya cancel. Mereka bertindak berdasarkan emosi dan persepsi keadilan peribadi tanpa menilai bukti secara rasional dan menganggap kecaman awam sebagai satu bentuk keadilan sosial (Munteanu, 2023).
2. Mempunyai Persepsi Hitam-Putih terhadap Moral
Sebahagian masyarakat melihat sesuatu isu moral hanya dalam dua dimensi, iaitu antara “betul” atau “salah” sahaja, tanpa mempertimbangkan niat, konteks, atau potensi perubahan individu. Pandangan moral yang rigid Ini menyebabkan mereka lebih mudah untuk menghukum daripada berusaha untuk memahami atau memberi peluang untuk pemulihan (Verbruggen, 2022).
3. Ketagihan terhadap Validasi Sosial
Ramai pengguna menyertai tindakan cancel kerana mahu dilihat sebagai sebahagian daripada kumpulan yang “berdiri di pihak yang benar”. Like, komen, dan perkongsian dijadikan ukuran moral dan identiti diri dalam talian (Carlsson, 2022).
Kesan Budaya Cancel
1. Kesan Psikologi terhadap Individu
Individu yang menjadi mangsa cancel sering mengalami tekanan psikologi yang mendalam, termasuk simptom seperti kemurungan, kebimbangan, dan hilang keyakinan diri. Kajian menunjukkan bahawa pendedahan berterusan terhadap serangan maya boleh meninggalkan kesan trauma jangka masa panjang terhadap kesejahteraan mental seseorang individu (Verbruggen, 2022).
2. Kemerosotan Nilai Empati dan Kemanusiaan
Apabila masyarakat terlalu fokus kepada elemen menghukum, mereka gagal untuk memberi ruang kepada proses pembelajaran, refleksi, dan peluang kedua bagi individu yang tersilap. Akibatnya, masyarakat menjadi lebih tidak bertoleransi dan kurang berbelas kasihan terhadap kesilapan manusia, sekaligus mengurangkan potensi untuk wujudnya proses pemulihan sosial (Munteanu, 2022).
3. Kesan terhadap Kebebasan Bersuara
Budaya cancel boleh menimbulkan ketakutan dalam kalangan individu untuk bersuara atau berkongsi pandangan yang berbeza atau tidak selari dengan arus majoriti. Dalam jangka masa panjang, fenomena ini berisiko menjejaskan budaya diskusi sihat, kebebasan akademik, serta dinamika intelektual dalam masyarakat (Almosa, 2023).
Langkah-Langkah Menangani Budaya Cancel
1. Menggalakkan Literasi Digital dan Pemikiran Kritis
Pendidikan literasi digital perlu diterapkan bagi melatih masyarakat menilai dan mentafsir maklumat secara objektif dan teliti sebelum berkongsi atau mengulas sesuatu isu.
2. Membina Budaya Empati
Masyarakat perlu dididik untuk memahami bahawa setiap manusia berpotensi untuk melakukan kesilapan dan berupaya untuk belajar daripada kesilapan tersebut. Teguran terhadap salah laku seharusnya disampaikan secara berhemah dan berasaskan empati, bukan dengan niat untuk menjatuhkan maruah individu.
3. Peranan Platform Media Sosial
Penyedia platform media sosial memainkan peranan penting dalam membendung penyalahgunaan ruang digital. Syarikat-syarikat ini perlu memperkukuh dasar terhadap penyebaran fitnah, manipulasi video, dan serangan peribadi. Mekanisme aduan perlu diperhalusi supaya keadilan dapat ditegakkan tanpa mengekang kebebasan bersuara.
4. Mengamalkan Dialog Terbuka dan Pendidikan Emosi
Budaya dialog terbuka perlu digalakkan bagi membolehkan isu moral dan sosial dibincangkan secara matang, tanpa elemen mempermalukan atau menyerang peribadi. Pendidikan emosi dan kemahiran komunikasi berhemah dapat membantu masyarakat mengurus perbezaan pendapat dengan lebih rasional dan empatik, sekali gus mengurangkan kecenderungan kepada reaksi ekstrem di ruang siber.
Kesimpulan
Kesimpulannya, budaya cancel pada asalnya wujud untuk menuntut tanggungjawab dan keadilan sosial. Namun, apabila ia digunakan tanpa empati dan pertimbangan, ia boleh berubah menjadi bentuk penghakiman serta pembulian siber yang mencederakan emosi individu. Dalam era media sosial yang pantas, penting untuk kita menilai sesuatu isu dengan waras, mendengar kedua-dua pihak, dan memberi ruang untuk perbaiki. Keadilan sejati bukan datang dari menghukum, tetapi dari kefahaman dan peluang untuk berubah.
Jiwadamai juga boleh membantu anda dalam isu psikologi yang dihadapi daripada peringkat kanak-kanak sehinggalah ke dewasa sama ada ia isu kesihatan mental mahupun isu perkembangan kanak-kanak secara holistik kerana ahli klinikal kami terdiri daripada Pakar Psikiatri, Pakar Psikiatri Kanak-Kanak, Psikologis Klinikal, ahli terapi cara kerja (occupational therapist), dan juga ahli terapi pertuturan (speech therapist).
Jikalau tidak keberatan, anda boleh hubungi kami melalui talian 017 269 4852 (hotline isu dewasa) dan 011 5430 8949 (hotline isu kanak-kanak & remaja) dan lakukan janji temu bersama kami. Kami sedia membantu anda.
Ditulis oleh : Celinah, Pelajar Psikologi UNISEL
Disahkan oleh : Psikologis Klinikal Jiwadamai