Autisme atau Autism Spectrum Disorder (ASD) ialah kecelaruan perkembangan saraf yang menjejaskan cara individu berkomunikasi, berinteraksi sosial, dan mengawal tingkah laku. Secara global, dianggarkan 1 daripada 100 kanak-kanak berada dalam spektrum autisme (Zeidan et al., 2022). Kanak-kanak dengan ASD biasanya menunjukkan kesukaran dalam komunikasi sosial, peralihan tugasan, kawalan emosi, serta tindak balas deria yang berbeza daripada kebiasaan.
Namun, dalam beberapa tahun kebelakangan ini, muncul istilah pseudo-autisme (kadangkala disebut fake autism atau quasi-autism). Istilah ini digunakan oleh sebahagian profesional untuk menggambarkan tingkah laku yang menyerupai simptom autisme tetapi bukan ASD sebenar.
Apa Itu Pseudo-Autisme?
Pseudo-autisme merujuk kepada tingkah laku autistik yang muncul pada individu akibat faktor persekitaran, bukan disebabkan gangguan neurologi atau genetik semulajadi. Kanak-kanak mungkin menunjukkan kelakukan mirip dengan ASD seperti:
- Kurang komunikasi sosial & kontak mata yang lemah
- Kelewatan perkembangan bahasa
- Masalah kawalan emosi dan tumpuan
- Minat terhad dan tingkah laku berulang
Berbeza dengan ASD, kanak-kanak dengan pseudo-autisme boleh kembali mencapai perkembangan yang selaras dengan tahap umur mereka dan tingkah laku autistik boleh berkurangan atau hilang apabila persekitaran individu berubah, misalnya melalui intervensi awal dan peningkatan rangsangan sosial (Stenberg et al., 2014)
Perbezaan Antara Pseudo-Autisme dengan ASD
Pseudo-Autisme
Pseudo-autisme berpunca daripada kekurangan rangsangan persekitaran yang membawa kepada pembentukan tingkah laku mirip autistik, seperti trauma, pengabaian, atau kekurangan stimulasi. Ciri-ciri autistik yang ditunjukkan adalah bersifat sementara dan dalam sesetengah kes boleh dipulihkan, bergantung kepada punca yang mendasarinya.
Autism Spectrum Disorder (ASD)
Autisme sebenar (ASD) lazimnya mempunyai asas genetik dan neurologi, serta mula muncul sejak peringkat awal kanak-kanak. Ciri-ciri autisme boleh diuruskan, namun akan berlanjutan sepanjang hayat meskipun terdapat perubahan rangsangan atau persekitaran.
Beberapa kajian menunjukkan terdapat faktor yang boleh meningkatkan risiko kemunculan tingkah laku menyerupai autisme, seperti kekurangan interaksi dua hala antara ibu bapa dan anak (Heffler & Oestreicher, 2022), pendedahan skrin berlebihan yang bersifat satu hala, serta kekurangan rangsangan sensori dan sosial. Walau bagaimanapun, pseudo-autisme boleh ditangani dengan intervensi yang sesuai seperti peningkatan interaksi ibu bapa bersama anak, aktiviti permainan berstruktur dan pengurangan masa di hadapan skrin (Duch et al., 2019).
Apa Yang Perlu Dilakukan?
Walaupun istilah ini masih belum diiktiraf secara rasmi, kesedaran dalam kalangan ibu bapa dan penjaga adalah sangat penting bagi mengelakkan pseudo-autisme berlaku dan memastikan kanak-kanak berkembang secara sihat dan mencapai tahap perkembangan yang sesuai dengan tahap umur. Antara langkah yang boleh diambil ialah:
- Hadkan masa skrin, terutama bagi kanak-kanak bawah 2 tahun.
- Galakkan permainan berunsur sosial seperti bermain bersama rakan sebaya.
- Luangkan masa berkualiti bersama anak melalui aktiviti seperti membaca, bercerita, menyanyi, atau aktiviti bersama anak
- Sediakan rangsangan sensori yang sihat seperti bermain tanah liat atau berjalan kaki di persekitaran semula jadi.
- Berikan interaksi dua hala secara konsisten termasuk bercakap, mendengar dan memberi respon kepada anak)
Sebagai ibu bapa, meluangkan masa untuk berinteraksi, menghadkan penggunaaan skrin serta menyediakan stimulasi sosial dan emosi yang mencukupi adalah langkah asas yang mampu menyokong perkembangan anak secara sihat dan seimbang.
Jiwadamai juga boleh membantu anda dalam isu psikologi yang dihadapi daripada peringkat kanak-kanak sehinggalah ke dewasa sama ada ia isu kesihatan mental mahupun isu perkembangan kanak-kanak secara holistik kerana ahli klinikal kami terdiri daripada Pakar Psikiatri, Pakar Psikiatri Kanak-Kanak, Psikologis Klinikal, ahli terapi cara kerja (occupational therapist), dan juga ahli terapi pertuturan (speech therapist).
Jikalau tidak keberatan, anda boleh hubungi kami melalui talian 017 269 4852 (hotline isu dewasa) dan 011 5430 8949 (hotline isu kanak-kanak & remaja) dan lakukan janji temu bersama kami. Kami sedia membantu anda.
Ditulis oleh: Maisyara Zulkifli, Universiti Kebangsaan Malaysia
Disahkan oleh: Psikologis Klinikal Jiwadamai