Gambar Blogpost Normalisasi Buli

Apa Itu Buli?

Isu buli memberi kesan kepada setiap sekolah dan berlaku di semua peringkat gred, walaupun dalam bentuk berbeza seperti fizikal, lisan, siber dan sosial Rand (2003) menyatakan bahawa ia merupakan bentuk keganasan paling lazim dalam masyarakat; antara 15% hingga 30% pelajar adalah pembuli atau mangsa buli. Buli boleh ditakrifkan sebagai ‘apabila seseorang individu didedahkan secara berulang dan dalam jangka masa panjang kepada tindakan negatif oleh seorang atau lebih individu lain’ (Olweus, 1993). Di Malaysia, isu ini turut kerap berlaku, terutamanya di sekolah. Antara contoh buli yang kerap berlaku di sekolah ialah buli fizikal, buli siber, buli emosi, buli lisan dan buli seksual.

Punca-Punca Buli Di Sekolah

Terdapat beberapa faktor yang memainkan peranan yang penting dalam penyebaran isu buli yang semakin berleluasa di sekolah.

1. Kurang Perhatian dari Ibu Bapa

    Institusi kekeluargaan memainkan peranan penting kerana kanak-kanak dan remaja memerlukan ahli keluarga sebagai pendengar dan pemberi kepercayaan. Namun, segelintir ibu bapa mengabaikan keperluan emosi anak-anak disebabkan kesibukan kerja dan tekanan hidup. Akibatnya, mereka mencari perhatian di luar dengan cara yang salah, termasuk membuli rakan sebaya. Mitsopoulou & Gionvazolias (2013) menyatakan bahawa kekurangan kasih sayang ibu bapa boleh mendorong anak membesar tanpa empati dan lebih cenderung kepada tingkah laku agresif.

    2. Pengaruh Internet dan Media Massa

    Dasawarsa ini, akses kepada internet telah menjadi satu keperluan dan sangat mudah melalui telefon pintar, tablet dan komputer. Kanak-kanak dan remaja kini banyak meluangkan masa di media sosial seperti TikTok dan YouTube yang mendedahkan mereka kepada unsur keganasan, bahasa kasar dan tingkah laku agresif. Mereka menganggap tingkah laku tersebut sebagai “cool” dan meniru perbuatan itu terhadap rakan-rakan mereka. Anderson et al. (2003) berpendapat bahawa pendedahan kepada kandungan media yang ganas boleh meningkatkan pemikiran dan perasaan agresif dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.

    3. Pengaruh Rakan Sebaya

    Ketika di peringkat remaja, mereka cenderung mempunyai kawan kerana perlu membina identiti diri dan mencari persekitaran sosial yang menerima mereka (Chen et al. 2007). Dalam isu ini, pembuli mungkin dipengaruhi oleh rakan sebaya yang menjadi model tingkah laku agresif. Mereka terdorong oleh norma kumpulan dan mahu mengekalkan kedudukan sosial. Bongers & Co (2008) menyatakan bahawa masalah tingkah laku yang bermula sejak zaman kanak-kanak boleh berterusan hingga ke alam dewasa.

    4. Kurang Didikan Agama yang Teguh

      Kebanyakan remaja hari ini mempunyai tanggapan bahawa ajaran agama sudah ketinggalan zaman dan tidak relevan untuk dipraktikkan pada alaf globalisasi ini. Keadaan menjadi lebih membingungkan apabila ibu bapa juga tidak memberikan didikan agama yang sempurna kepada anak-anak mereka. Ini secara tidak langsung menyebabkan kelengkangan asas moral dan etika yang kukuh untuk membimbing tingkah laku mereka. Aziz et al. (2020) mendapati bahawa kurangnya religiositi dalam kalangan remaja merupakan faktor penyumbang kepada tingkah laku devian seperti buli.

      Kesan Buli Terhadap Mangsa

      Peningkatan perbuatan buli yang berlaku di antara pelajar-pelajar sekolah semakin merisaukan dan tingkah laku ini boleh memberi kesan yang buruk terhadap mangsa. Antara kesan-kesan buli terhadap mangsa ialah:

      1. Menganggu Kesihatan Mental

        Perbuatan membuli mengganggu perkembangan emosi dan memberi kesan serius terhadap kesihatan mental mangsa. Mangsa buli cenderung untuk mengalami trauma, kebimbangan, harga diri rendah serta gangguan seperti fobia sosial dan serangan panik (Lee et al. 2019). Kesannya boleh menjejaskan identiti diri dan berlarutan hingga ke alam dewasa. McLaughlin et al. (2006) menyatakan bahawa buli adalah sejenis trauma berterusan yang menjejaskan rasa selamat dalam diri mangsa. Kematian?

        2. Perkembangan Sosial

          Buli turut menjejaskan perkembangan sosial mangsa apabila mereka mula berasa takut dan hilang kepercayaan terhadap rakan sebaya atau orang sekeliling (bystanders, teachers who knew but normalize bullying). Mereka cenderung merasa malu dan kecewa dengan diri sendiri yang akhirnya memberi kesan kepada prestasi akademik dan peluang pembelajaran (Armitage, 2021). Kekurangan ini menghambat perkembangan kemahiran sosial seperti bergaul, bercakap dan ketegasan (Jenkins et al., 2014). Akibatnya, mangsa mungkin mengalami kesunyian sosial dan pengasingan yang mendalam.

          3. Perkembangan Fizikal

          Buli turut memberi kesan negatif terhadap perkembangan fizikal mangsa, termasuk kecederaan tubuh badan akibat tindakan agresif seperti pukulan dan tendangan. Kecederaan ini boleh menjadi serius dan berpanjangan, terutamanya jika membabitkan bahagian sensitif seperti mata atau kepala. Kajian Hunter et al. (2014) menunjukkan mangsa buli dua kali lebih berisiko mengalami gangguan tidur, manakala Gini & Pozzoli (2013) pula melaporkan simptom psikosomatik seperti sakit kepala dan gangguan selera makan akibat tekanan emosi yang berterusan. Keadaan ini seterusnya menjejaskan kesihatan dan tenaga fizikal mereka secara menyeluruh. Jika kesihatan dan tenaga fizikal mereka terus terjejas, ia boleh membawa kepada kematian.

          4. Perkembangan Kognitif

            Buli memberi kesan buruk terhadap perkembangan kognitif mangsa. Tekanan kronik akibat buli mengaktifkan sistem tekanan tubuh (paksi HPA) secara berterusan, yang boleh mengganggu fungsi fisiologi dan otak (Rivara & Menestrel, 2016). Selain itu, menurut Okhotan et al. (2020), mangsa buli berisiko mengalami pengecilan ‘caudate volume’ dan ‘putamen’, bahagian otak penting untuk memori dan koordinasi pergerakan. Kerosakan ini menjejaskan fungsi kognitif, mengurangkan kawalan kendiri, dan menyumbang kepada penurunan prestasi akademik. Lebih khusus, kerosakan ini menjejaskan fungsi eksekutif (executive functioning) seperti kawalan emosi,perancangan, membuat keputusan, dan pengawalan impuls. Tekanan berterusan akibat buli melemahkan keupayaan mangsa untuk menumpukan perhatian dan mengurus tingkah laku, sekali gus memberi kesan negatif kepada prestasi akademik dan interaksi sosial.

            Peranan Ibu Bapa dan Sekolah

            1. Memperkukuh Institusi Keluarga

              Ibu bapa memainkan peranan penting dalam membentuk institusi keluarga yang kukuh dengan menerapkan nilai-nilai murni dan ajaran agama dalam kehidupan anak-anak. Didikan ini dapat membina benteng diri yang kuat untuk menolak pengaruh negatif seperti buli. Menurut Saleh & Saidi (2015), ketidakharmonian keluarga serta kurangnya kawalan dan didikan agama boleh menyumbang kepada kepincangan tingkah laku remaja. Oleh itu, nilai seperti kasih sayang, hormat dan tanggungjawab bukan sahaja mengeratkan hubungan kekeluargaan, tetapi juga membentuk personaliti positif dan mengurangkan kecenderungan membuli.

              2. Penglibatan Aktif di dalam Aktiviti Seharian Anak-Anak

              Selain itu, pengawasan ibu bapa terhadap pergerakan dan pergaulan anak-anak amat penting dalam mencegah pengaruh negatif seperti buli. Penglibatan aktif dalam kehidupan harian anak bukan sahaja membentuk disiplin, malah membantu ibu bapa memahami cabaran sosial yang dihadapi anak. Tanpa bimbingan dan pemantauan yang konsisten, anak-anak yang sedang mencari identiti diri mudah terpengaruh dengan rakan sebaya, media sosial atau televisyen. Menurut Asnawi (2017), gaya keibubapaan yang terlalu longgar atau terlalu ketat tanpa komunikasi yang terbuka boleh menjejaskan kestabilan emosi anak dan menjadikan mereka lebih terdedah kepada pengaruh negatif. Oleh itu, pemantauan yang berterusan membolehkan ibu bapa mengesan awal sebarang perubahan tingkah laku dan mengambil langkah sewajarnya.

              3. Mengambil Berat Mengenai Isu Buli di Sekolah

              Di samping itu, guru berperanan penting dalam memantau persekitaran sosial pelajar di sekolah. Tanggungjawab guru bukan hanya terhad kepada aspek akademik, tetapi turut merangkumi pemerhatian terhadap perubahan emosi, tingkah laku dan interaksi sosial pelajar. Justeru, guru perlu memahami konsep, punca, lokasi dan aspek berkaitan. isu buli agar dapat mengesan kejadian awal. Sekiranya wujud unsur buli, pihak sekolah perlu mengambil tindakan disiplin yang sewajarnya seperti penggantungan atau buang sekolah terhadap pelaku dan tidak memandang rendah terhadap aduan pelajar walaupum ianya sekadar “gurauan/gurauan kasar” sesama pelajar. Manakala mangsa perlu dilindungi, termasuk menjaga kerahsiaan identiti mereka. Bagi menangani isu ini secara holistik, sesi kaunseling harus diberikan kepada kedua-dua pihak yang terlibat, selain penglibatan ibu bapa di peringkat awal bagi mewujudkan kerjasama erat antara pihak sekolah dan keluarga dalam usaha membanteras gejala buli.

              4. Melaksanakan Kempen Kesedaran

                Tambahan pula, pihak sekolah boleh melaksanakan kempen kesedaran sebagai langkah proaktif dalam usaha membanteras isu buli dalam kalangan pelajar. Kerjasama antara guru dan pihak pentadbiran amat penting dalam merancang dan melaksanakan kempen atau program berkaitan buli sekurang-kurangnya dua kali setahun. Kempen ini boleh merangkumi pelbagai aktiviti pendidikan dan interaktif seperti ceramah oleh pihak berkuasa, pakar psikologi, atau alumni; notis mingguan megulas isu buli; serta pertandingan menulis esei yang mengupas pengalaman atau pandangan pelajar mengenai buli. Melalui pelaksanaan kempen sebegini, pelajar bukan sahaja memperoleh pengetahuan dan kesedaran tentang isu buli, malah ia turut berperanan sebagai medium pencegahan serta menyemai nilai-nilai positif dan budaya hormat dalam kalangan warga sekolah.

                Rawatan Kepada Mangsa

                1. Sesi Kaunseling Individu

                  Sesi kauseling individu bersama dengan mangsa ataupun pembuli boleh membantu mereka mengawal tingkah laku dan membuat pilihan. Kaunselor akan menjalankan peranan mereka sebagai seorang profesional yang mendengar dan memahami dengan baik keadaan klien. Dalam kaunseling, kaunselor akan menolong klien memenuhi keperluan asas dengan memilih tingkah laku yang berkesan dan bertanggungjawab. Apabila klien mengenal pasti kemahuan dan memperbaiki tingkah laku lalu dengan perancangan yang efektif, klien akan menemui suatu pendekatan untuk hidup dengan lebih sejahtera. Dalam isu buli ini, ia membantu mangsa buli memproses trauma yang dialami dan mempelajari kemahiran mengatasi tekanan manakala untuk pembuli pula, ia membantu dalam mengenal pasti punca mereka bertindak agresif dan mengubah corak pemikiran mereka.

                  2. Terapi Kognitif Tingkah Laku (CBT)

                    Selain itu, isu buli ini juga boleh dirawat menggunakan kaedah terapi kognitif tingkah laku (CBT). CBT ialah satu pendekatan psikoterapi yang membantu individu mengenal pasti dan mengubah corak pemikiran serta tingkah laku yang negatif. Ia berdasarkan konsep bahawa pemikiran, perasaan, dan tingkah laku kita saling berkait, dan dengan mengubah salah satu daripadanya, ia boleh membawa kepada perubahan dalam aspek yang lain juga. Berkait dengan isu buli ini, kaedah ini membantu mangsa mengenal pasti dan menstruktur semula pemikiran negatif dan mengawal keresahan, kemurungan dan fobia sosial (DeRubeis et al. 2005, Hofmann et al. 2012).

                    3. Rawatan Klinikal

                      Tambahan pula, dalam kes yang serius seperti trauma kompleks, kemurungan major, atau gangguan tekanan pascatrauma (PTSD) akibat buli, rawatan klinikal mungkin diperlukan sebagai langkah pemulihan yang lebih mendalam. Ini termasuk psikoterapi intensif yang dilaksanakan oleh pakar psikologi atau pakar psikiatris terlatih, serta pemberian ubat anti-kemurungan atau anti-kebimbangan oleh pakar psikiatri bagi membantu menstabilkan emosi dan simptom psikologi yang dialami. Sekiranya keadaan mangsa semakin memburuk atau menunjukkan risiko terhadap diri sendiri seperti mencederakan diri atau bercakap tentang kematian, rujukan ke hospital psikiatri atau pusat kesihatan mental adalah sangat disarankan. Kajian oleh Copeland et al. (2013) mendapati bahawa mangsa buli berisiko tinggi mengalami gangguan psikologi yang berpanjangan hingga ke alam dewasa, justeru intervensi awal melalui rawatan klinikal adalah sangat penting bagi menjamin kesejahteraan mental jangka panjang mereka.

                      Kesimpulan

                      Isu buli di sekolah memberi kesan serius terhadap emosi, mental, sosial, fizikal dan akademik pelajar. Ia berpunca daripada pelbagai faktor seperti kurang didikan agama, pengaruh media, kurang perhatian ibu bapa dan tekanan rakan sebaya. Oleh itu, peranan ibu bapa, guru dan pihak sekolah amat penting dalam membendung gejala ini.

                      Bagi mangsa dan pelaku buli, rawatan seperti sesi kaunseling, terapi kognitif tingkah laku (CBT), dan rawatan klinikal boleh membantu proses pemulihan. Mereka juga digalakkan untuk mendapatkan bantuan daripada kaunselor, ahli psikologi atau ahli terapi profesional bagi mengatasi trauma serta membina semula keyakinan diri. Dengan kerjasama semua pihak, kita dapat mewujudkan persekitaran sekolah yang lebih selamat dan sihat untuk semua pelajar.

                      Jiwadamai juga boleh membantu anda dalam isu psikologi yang dihadapi daripada peringkat kanak-kanak sehinggalah ke dewasa sama ada ia isu kesihatan mental mahupun isu perkembangan kanak-kanak secara holistik kerana ahli klinikal kami terdiri daripada Pakar Psikiatri, Pakar Psikiatri Kanak-Kanak, Psikologis Klinikal, ahli terapi cara kerja (occupational therapist), dan juga ahli terapi pertuturan (speech therapist).

                      Jikalau tidak keberatan, anda boleh hubungi kami melalui talian 017 269 4852 (hotline isu dewasa) dan 011 5430 8949 (hotline isu kanak-kanak & remaja) dan lakukan janji temu bersama kami. Kami sedia membantu anda.

                      Ditulis oleh : Akif Safwan, Pelajar Psikologi UKM
                      Disahkan oleh : Psikologis Klinikal Jiwadamai

                      Kongsikan artikel ini

                      Facebook
                      Twitter
                      WhatsApp