” Stockholm Syndrome: Ikatan Emosi Berbahaya Antara Mangsa dan Pelaku”
Stockholm Syndrome ialah fenomena psikologi di mana mangsa menunjukkan empati, simpati, dan perasaan positif terhadap pelaku yang menyakiti mereka, kadang-kadang sehingga ke tahap membela dan mengenal pasti diri dengan pelaku tersebut. Perasaan ini biasanya dianggap berlaku akibat tekanan atau bahaya yang dihadapi oleh mangsa, yang akhirnya tersilap tafsir ketiadaan penderaan sebagai satu bentuk kebaikan daripada pelaku.
Stockholm Syndrome yang juga dikenali sebagai ‘ikatan trauma’ atau ‘ikatan dengan pelaku’ merupakan reaksi atau tingkah laku mental yang berlaku apabila mangsa keganasan membentuk hubungan atau perikatan dengan penculik, penahan, atau pelaku penderaan, semasa berada dalam situasi penahanan atau penculikan. Namun, penting untuk diingatkan bahawa tidak semua mangsa situasi penderaan atau penahanan akan mengalami Stockholm Syndrome. Ada mangsa yang mungkin mengalami trauma tanpa membentuk sebarang ikatan emosi atau perasaan simpati terhadap pelaku.
Kebiasaannya, pembentukan hubungan ini dan perkembangan Stockholm Syndrome boleh berlaku dalam tempoh beberapa hari, minggu, bulan, atau bahkan tahun selepas mangsa diculik, ditawan, atau didera.
Sepanjang tempoh penahanan ini, mangsa mengalami kebergantungan berganda untuk kelangsungan hidup, bergantung kepada pelaku untuk terus hidup, dan pada masa sama berharap kepada keluarga, pihak keselamatan, atau kerajaan untuk kebebasan. Keadaan ini akhirnya mencetuskan persepsi kebergantungan dua hala dalam diri mangsa. Keadaan ini lazimnya berlaku apabila pelaku mengancam nyawa mangsa tetapi tidak melaksanakannya. Dalam situasi ini, mangsa mungkin merasakan kesyukuran kerana “diselamatkan”, sekali gus mencetuskan perasaan bergantung kepada pelaku. Ikatan emosi ini terbentuk sebagai satu mekanisme bertahan hidup di bawah tekanan psikologi yang melampau.
Simptom Stockholm Syndrome
1. Perasaan positif terhadap pelaku (penculik/pendera)
Mangsa mula menunjukkan kasih sayang, simpati, atau empati terhadap individu yang mencederakan atau menahan mereka.
2. Perasaan negatif terhadap keluarga, rakan, atau pihak berkuasa yang cuba menyelamatkan
Mangsa mungkin marah, tidak percaya atau menolak bantuan daripada orang luar. Mereka melihat orang yang ingin membantu sebagai ancaman kepada “hubungan” mereka dengan pelaku.
3. Menyokong tindakan dan alasan pelaku
Mangsa mula mempertahankan pelaku dan mempercayai alasan mengapa mereka diperlakukan begitu.
4. Tidak mampu bertindak untuk membebaskan diri sendiri
Mangsa tidak berusaha untuk melarikan diri atau mendapatkan bantuan walaupun ada peluang, kerana rasa takut, keliru, atau terlalu terikat secara emosi dengan pelaku.
Faktor-faktor Stockholm Syndrome
- Tiada hubungan terdahulu antara pelaku penderaan dan mangsa
- Mangsa membentuk perasaan positif terhadap pelaku.
- Pengasingan sepenuhnya daripada orang lain kecuali pelaku.
- Mangsa percaya bahawa pelaku penderaan mempunyai sifat perikemanusiaan dan menyalah anggap kebaikan kecil sebagai tanda keprihatinan sebenar
- Mempercayai bahawa pelaku penderaan boleh membunuh pada bila-bila masa
- Mangsa enggan bekerjasama dengan pihak polis atau pihak berkuasa (jika dalam situasi tebusan)
Situasi di mana Stockholm Syndrome boleh berlaku
1. Hubungan Abusif / Toksik
Dalam hubungan rumah tangga atau percintaan yang bersifat toksik, mangsa sering bergantung secara emosi kepada pelaku. Walaupun disakiti, mangsa tetap mempertahankan dan menyokong pelaku atas dasar kebergantungan dan manipulasi emosi.
2. Penculikan
Mangsa yang diculik mungkin membentuk ikatan psikologi dengan penculik disebabkan oleh rasa takut, tekanan mental, dan keperluan untuk terus hidup. Dalam keadaan terasing, penculik dilihat sebagai satu-satunya sumber keselamatan.
3. Penderaan Kanak-Kanak
Kanak-kanak yang mengalami penderaan berterusan oleh ibu bapa atau penjaga boleh membentuk hubungan emosi dengan pelaku sebagai mekanisme bertahan hidup. Mereka mungkin menganggap penderaan sebagai bentuk “kasih sayang” kerana kekeliruan emosi.
4. Pemerdagangan Seks
Mangsa pemerdagangan sering bergantung kepada pelaku untuk keperluan asas seperti makanan dan tempat tinggal. Akibat ketakutan dan kebergantungan ini, mereka mula menimbulkan perasaan positif terhadap pelaku, serta enggan bekerjasama dengan pihak berkuasa kerana takut dibalas atau kehilangan “perlindungan”.
Rawatan kepada Stockholm Syndrome
1. Kaunseling atau Terapi Psikologi
Kaunseling melibatkan proses di mana seorang profesional terlatih membantu individu memahami dan mengatasi masalah yang mereka hadapi. Ia merupakan bentuk terapi bercakap yang membimbing pesakit melalui kenangan yang menyakitkan serta membantu membina mekanisme daya tahan (coping mechanism).
2. Terapi Tingkah Laku Kognitif (CBT)
CBT bertujuan untuk menghapuskan distorsi pemikiran yang menjadi asas kepada ikatan psikologi dengan pelaku. Ia membantu mangsa melihat realiti hubungan yang bersifat penderaan dengan lebih jelas dan rasional.
3. Terapi Tingkah Laku Dialektikal (DBT)
Terapi ini menyediakan alat praktikal untuk mengurus emosi yang melampau, terutamanya apabila mangsa perlu berhadapan dengan trauma dan memutuskan ikatan emosi dengan pelaku. DBT juga membantu individu membina kemahiran hubungan interpersonal yang sihat, dan membezakan dengan ikatan tidak sihat yang pernah mereka alami.
4. Pengambilan Ubat (Jika Perlu)
Ubat boleh membantu meredakan simptom yang keterlaluan, seperti kebimbangan, kemurungan atau Post-Traumatic Stress Disorder (PTSD). Ini membantu menstabilkan keadaan mental individu, menjadikan mereka lebih bersedia dan terbuka untuk menjalani sesi terapi psikologi dengan lebih berkesan. Ia mewujudkan persekitaran dalaman yang lebih sesuai untuk proses pemulihan daripada ikatan trauma.
Kesimpulan
Stockholm Syndrome merupakan keadaan psikologi kompleks yang boleh berlaku dalam situasi trauma seperti penculikan, hubungan toksik, penderaan dan pemerdagangan. Walaupun kelihatan sukar difahami, perasaan simpati terhadap pelaku sebenarnya adalah respons bertahan hidup yang terbentuk akibat tekanan emosi dan kebergantungan. Dengan pemahaman yang betul serta rawatan seperti terapi psikologi dan sokongan sosial, mangsa sindrom ini boleh pulih dan membina semula kehidupan yang lebih sihat dari segi emosi dan mental.
Jiwadamai juga boleh membantu anda dalam isu psikologi yang dihadapi daripada peringkat kanak-kanak sehinggalah ke dewasa sama ada ia isu kesihatan mental mahupun isu perkembangan kanak-kanak secara holistik kerana ahli klinikal kami terdiri daripada Pakar Psikiatri, Pakar Psikiatri Kanak-Kanak, Psikologis Klinikal, ahli terapi cara kerja (occupational therapist), dan juga ahli terapi pertuturan (speech therapist).
Jikalau tidak keberatan, anda boleh hubungi kami melalui talian 017 269 4852 (hotline isu dewasa) dan 011 5430 8949 (hotline isu kanak-kanak & remaja) dan lakukan janji temu bersama kami. Kami sedia membantu anda.
Ditulis oleh : Arifah Hanani, Pelajar Psikologi Universiti Malaysia Sarawak
Disahkan oleh : Psikologis Klinikal Jiwadamai