Intelligence Quotient (IQ) atau lebih dikenali sebagai IQ ialah satu ukuran tahap kecerdasan kognitif dan intelek seseorang berbanding tahap kecerdasan populasi umum. Ujian penilaian IQ direka untuk menilai keupayaan mental individu dalam aspek memori, pemahaman, perancangan, penyelesaian masalah, dan keupayaan berfikir secara abstrak.
Antara ujian penilaian IQ yang sering digunakan adalah yang dibangunkan oleh David Wechsler, seorang ahli psikologi yang memperkenalkan edisi pertama ujian IQ Wechsler pada tahun 1939. Terdapat dua jenis utama ujian IQ yang digunakan mengikut peringkat umur:
- WAIS (Wechsler Adult Intelligence Scale) – Digunakan untuk individu dewasa berumur 17 tahun dan ke atas. Ujian ini mengukur pelbagai domain seperti Verbal Comprehension (VCI), Working Memory (WMI), Processing Speed (PSI), dan Perceptual Reasoning (PRI).
- WISC (Wechsler Intelligence Scale for Children) – Direka khas untuk kanak-kanak berumur 6 hingga 16 tahun. Ia membantu mengenal pasti tahap perkembangan mental serta sebarang keperluan pendidikan khas.
Adakah IQ Test Penting?
Ujian IQ sering digunakan dalam bidang pendidikan kerana fungsinya yang membantu mengenal pasti keupayaan kognitif pelajar. Sebagai contoh, guru dapat mengetahui kekuatan dan kelemahan pelajar melalui ujian ini, sekali gus menyesuaikan pendekatan pengajaran agar lebih berkesan dan sesuai mengikut tahap pelajar.
Dalam konteks penempatan pendidikan, ujian IQ juga digunakan sebagai alat saringan, seperti dalam program Permata Pintar yang menggunakan skor IQ sebagai asas pengelasan. Melalui ini, pelajar yang mempunyai tahap kecerdasan tinggi dapat belajar dalam persekitaran yang mencabar dan sesuai dengan keupayaan mereka.
Selain itu, ujian IQ juga berperanan dalam mengenal pasti pelajar yang memerlukan sokongan khas, seperti mereka dalam Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI). Ujian ini membantu guru memahami keperluan pembelajaran pelajar berkeperluan khas, sekali gus memberi peluang kepada mereka untuk menerima pendidikan yang lebih inklusif dan efektif.
Di samping sumbangan dalam pendidikan, ujian IQ juga penting dalam bidang psikologi klinikal, ujian penilaian IQ turut membantu ahli psikologi dalam mengenal pasti gangguan perkembangan, pembelajaran atau intelek, seperti disleksia, autisme, atau masalah kecacatan intelek (intellectual disability). Melalui ujian ini, intervensi awal dapat dirancang bagi membantu individu mencapai potensi mereka dengan lebih baik.
Ujian IQ juga membantu individu memahami potensi diri dan bidang yang boleh diperbaiki. Sebagai contoh, jika seseorang menunjukkan skor yang tinggi dalam domain Working Memory, ini menunjukkan kebolehan mengingati dan memproses maklumat secara aktif. Individu ini boleh memanfaatkan kekuatan tersebut untuk memilih kerjaya dalam bidang seperti analisis data, perakaunan, pengaturcaraan, atau pengurusan projek, yang memerlukan keupayaan mengendalikan maklumat dengan cekap dan teratur.
Kekangan ujian penilaian IQ
Walaupun begitu, kita tidak boleh menafikan beberapa batasan ujian ini. Terdapat juga beberapa kekangan yang perlu dipertimbangkan. Antaranya, keputusan ujian IQ boleh dipengaruhi oleh latar belakang sosio-budaya, seperti bahasa harian, tahap pendidikan, dan pengalaman hidup seseorang. Ini boleh menyebabkan keputusan yang tidak mencerminkan keupayaan sebenar individu, terutamanya bagi mereka yang datang daripada latar belakang yang kurang pendedahan akademik.
Selain itu, tekanan semasa menjalani ujian boleh menjejaskan prestasi, dan jika keputusan tidak memuaskan, individu mungkin akan mengalami hilang keyakinan diri. Lebih membimbangkan, keputusan IQ kadangkala menyebabkan individu dilabel secara tidak adil, contohnya sebagai “bijak” atau “lemah”, yang boleh membawa kepada stigma sosial serta menjejaskan peluang dan motivasi seseorang.
Sudut Pandangan Holistik
Walau bagaimanapun, ujian IQ hanyalah sebahagian kecil daripada ukuran potensi kecerdasan manusia. Terdapat individu yang lebih menonjol dalam aspek Emotional Quotient (EQ) iaitu kebolehan mengenali, memahami dan mengawal emosi diri serta orang lain.
Selain itu, Howard Gardner telah mengemukakan Teori Kecerdasan Pelbagai (Multiple Intelligences) yang menyatakan bahawa kecerdasan manusia tidak terhad kepada logik dan bahasa sahaja. Beliau mencadangkan 8 jenis kecerdasan lain seperti:
- Muzik
- Kinestetik (pergerakan tubuh)
- Interpersonal (berhubungan dengan orang lain)
- Intrapersonal (pemahaman diri)
- Logikal-matematik
- Visual dan ruang
- Linguistik (bahasa)
- Naturalistik (pemerhatian terhadap alam)
Pelaksanaan Ujian IQ
Ujian penilaian IQ biasanya dijalankan secara individu menggunakan set soalan standard yang diselia oleh psikologis klinikal bertauliah. Ia boleh dilakukan dalam bentuk bertulis mahupun menggunakan komputer, bergantung kepada jenis alat ujian yang digunakan.
Ujian ini biasanya dilakukan apabila terdapat keperluan untuk mengenal pasti tahap kecerdasan seseorang, seperti dalam proses diagnosis masalah pembelajaran, saringan pelajar pintar, atau penempatan kerja. Ia dilaksanakan di institusi yang mempunyai profesional terlatih, seperti hospital, klinik psikologi, pusat pendidikan khas, atau pusat kaunseling.
Kesimpulan
Ujian penilaian IQ sememangnya berguna dalam pelbagai bidang seperti pendidikan, psikologi, dan pekerjaan. Namun begitu, ia mempunyai batasan dan tidak wajar dijadikan satu-satunya penanda aras bagi menilai potensi seseorang. Ini kerana kecerdasan manusia bersifat menyeluruh, melibatkan bukan sahaja IQ, tetapi juga Emotional Quotient (EQ) dan kemahiran hidup lain. Justeru, pendekatan holistik yang mengambil kira pelbagai aspek adalah lebih adil dan tepat dalam menilai keupayaan sebenar seseorang individu.
Jiwadamai juga boleh membantu anda dalam isu psikologi yang dihadapi daripada peringkat kanak-kanak sehinggalah ke dewasa sama ada ia isu kesihatan mental mahupun isu perkembangan kanak-kanak secara holistik kerana ahli klinikal kami terdiri daripada Pakar Psikiatri, Pakar Psikiatri Kanak-Kanak, Psikologis Klinikal, ahli terapi cara kerja (occupational therapist), dan juga ahli terapi pertuturan (speech therapist).
Jikalau tidak keberatan, anda boleh hubungi kami melalui talian 017 269 4852 (hotline isu dewasa) dan 011 5430 8949 (hotline isu kanak-kanak & remaja) dan lakukan janji temu bersama kami. Kami sedia membantu anda.
Ditulis oleh : Nurin Ainul Aisyah, Pelajar Psikologi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)
Disahkan oleh : Psikologis Klinikal Jiwadamai