Sabar atau Pendam? Cara Sihat Mengawal Emosi Semasa Ramadan

Gambar Blogpost Sabar atau Pendam_ Cara Sihat Mengawal Emosi Semasa Ramadan

Ramadan bukan sekadar bulan ibadah, tetapi juga masa yang menguji ketahanan emosi. Berpuasa bukan hanya menahan lapar dan dahaga, tetapi juga mengawal emosi daripada kemarahan, kesedihan, atau tekanan. Dalam menghadapi cabaran ini, ramai yang berdepan dengan dilema: adakah lebih baik bersabar (sabar) atau memendam perasaan (pendam)? Penulisan ini akan membincangkan perbezaan antara kedua-dua pendekatan ini serta strategi sihat untuk menguruskan emosi sepanjang Ramadan.

Kesan Berpuasa terhadap Kesihatan Mental

Ramadan dapat memberi kesan ketara terhadap kesejahteraan mental. Kajian menunjukkan bahawa berpuasa dapat mengurangkan tahap tekanan dan kebimbangan (Gilavand A et al, 2018) dengan meningkatkan kesedaran diri serta kawalan emosi (Fond G et al, 2013 & Bayani AA, 2020) Ini menunjukkan bahawa ibadah utama di bulan Ramadan iaitu berpuasa, bukan sahaja dapat memberi kesan baik kepada kesihatan fizikal, malah kesan yang baik untuk kesihatan mental. Namun, tidak semua individu yang berpuasa di bulan Ramadan mengalami kesan positif ini. Perubahan pola tidur dan pemakanan boleh menjejaskan kestabilan emosi bagi sesetengah individu (D. Jandali et al, 2024). Oleh itu, adalah penting untuk memahami perbezaan antara menguruskan emosi dengan cara yang sihat dan memendamnya dengan cara yang memudaratkan.

Sabar vs. Pendam: Apa Bezanya?

Sabar dalam Islam merujuk kepada ketahanan dan kesabaran dalam menghadapi ujian, yang dipandang sebagai satu bentuk kekuatan dalaman dan keimanan (Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri, 2015). Dari sudut psikologi, sabar didefinisikan sebagai cara seseorang menahan kekecewaan, kesukaran, atau penderitaan apabila tiada pilihan selain menunggu (Schnitker, 2012). Kesabaran dikaitkan dengan kecerdasan emosi yang tinggi, di mana individu mampu mengawal perasaan mereka dengan tenang tanpa menekan atau mengabaikannya.

Sebaliknya, pendam bermaksud menekan atau menyembunyikan emosi tanpa meluahkan perasaan dengan cara yang sihat. Perkara ni berlaku di mana seseorang menyembunyikan ekspresi emosi mereka untuk mengurangkan pengalaman subjektif terhadap emosi tersebut serta mengelakkan reaksi sosial yang negatif terhadap ekspresi emosi mereka (Gross & John, 2003). Antara kesan memendam emosi adalah pengumpulan emosi negatif yang tidak diselesaikan, penindasan emosi positif, dan usaha kognitif yang berterusan untuk mengawal tindak balas emosi (Gross & Levenson, 1997).

Cara Sihat Mengawal Emosi di Bulan Ramadan

  1. Melatih Diri Muhasabah dan Mengamalkan Teknik Kesedaran Minda (mindfulness)Tanyakan pada diri soalan yang bermakna seperti “Apa yang saya pelajari hari ini? Bagaimana saya mengawal emosi? Apa yang boleh diperbaiki?” Muhasabah atau refleksi kendiri boleh membantu individu memahami corak emosi mereka dan bertindak balas dengan lebih rasional daripada bertindak secara impulsif. Melalui cara mengenal pasti pencetus emosi tindak balas dapat dikawal, dan emosi dapat diurus dengan cara yang lebih sihat. Manakala kesedaran diri (mindfulness) pula ialah keadaan di mana seseorang memberi perhatian penuh terhadap masa kini tanpa membuat penilaian. Ia melibatkan tumpuan sepenuhnya pada pengalaman semasa, termasuk perasaan, fikiran, dan sensasi tubuh, dengan sikap penerimaan dan tanpa penghakiman.
  2. Meluahkan Perasaan secara Sihat
    Sebelum meluahkan perasaan, kenal pasti emosi yang dirasai dan punca emosi tersebut. Ini membantu perasaan disampaikan dengan lebih jelas. Nyatakan perasaan dengan jelas tanpa menyalahkan orang lain, seperti “Saya rasa sedih apabila luahan saya tidak didengari,” berbanding “Awak tak pernah dengar saya.” Emosi atau perasaan juga dapat diluahkan dengan cara menulis jurnal, melukis, bermain alat muzik, ataupun menulis puisi. Melalui cara-cara ini, emosi dapat diluahkan tanpa merasakan tekanan sosial.
     
  3. Mengamalkan Teknik Relaksasi
    Antara teknik relaksasi yang boleh dilakukan ialah teknik pernafasan dalam (deep breathing). Pernafasan dalam (deep breathing) membantu badan dan minda menjadi lebih relaks kerana ia menghantar isyarat kepada otak untuk “tenang”. Ia juga dapat mengurangkan kadar degupan jantung, seterusnya membantu tubuh berasa lebih nyaman, meningkatkan fokus, dan kestabilan emosi.
  4. Ingat Kepada Allah dan Tujuan Ramadan
    Salah satu cara paling berkesan untuk mengawal emosi adalah dengan mengingatkan diri tentang tujuan Ramadan. Ayat dalam Surah Al-Ra’d (13:28) menyebut bahawa “Sesungguhnya, dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang”. Dengan menanamkan rasa syukur dan bergantung kepada Allah, individu dapat membina ketenangan dalaman dan menguruskan emosi dengan lebih baik.

Mengurus emosi dengan cara yang sihat sepanjang Ramadan bukan sekadar satu keperluan, tetapi juga satu bentuk latihan dalam memperkukuh ketahanan mental dan spiritual. Membezakan antara sabar dan memendam emosi membolehkan kita mengamalkan strategi yang lebih baik dalam menangani tekanan dan cabaran harian. Dengan menerapkan teknik seperti refleksi kendiri, kesedaran minda, ekspresi emosi yang sihat, dan teknik relaksasi, kita dapat mengekalkan keseimbangan emosi serta meningkatkan kualiti ibadah kita. Akhirnya, Ramadan bukan hanya tentang menahan lapar dan dahaga, tetapi juga satu perjalanan untuk mencapai ketenangan hati dan kesejahteraan mental melalui pengurusan emosi yang lebih baik.

Jiwadamai juga boleh membantu anda dalam isu psikologi yang dihadapi daripada peringkat kanak-kanak sehinggalah ke dewasa sama ada ia isu kesihatan mental mahupun isu perkembangan kanak-kanak secara holistik kerana ahli klinikal kami terdiri daripada Pakar Psikiatri, Pakar Psikiatri Kanak-Kanak, Psikologis Klinikal, ahli terapi cara kerja (occupational therapist), dan juga ahli terapi pertuturan (speech therapist).

Jikalau tidak keberatan, anda boleh hubungi kami melalui talian 017 269 4852 (hotline isu dewasa) dan 011 5430 8949 (hotline isu kanak-kanak & remaja) dan lakukan janji temu bersama kami. Kami sedia membantu anda.

Ditulis oleh: Allin Shiddah, Pelajar Psikologi dengan Pembangunan Sumber Manusia UTM
Disahkan oleh: Psikologis Klinikal Jiwadamai

Kongsikan artikel ini

Facebook
Twitter
WhatsApp