Pada era globalisasi ini, teknologi berkembang dengan pesat, menjadikan kehidupan seharian kita semakin bergantung kepada kemudahan digital. Tidak dapat dinafikan, gajet memainkan peranan penting dalam pelbagai aspek kehidupan, termasuk pendidikan, komunikasi, dan hiburan. Namun, semakin ramai ibu bapa memilih untuk memberikan gajet kepada anak-anak mereka sejak usia muda, sama ada untuk tujuan pembelajaran atau bagi mengalihkan perhatian mereka.
Walaupun teknologi membawa banyak manfaat, penggunaannya yang tidak terkawal boleh mendatangkan kesan negatif. Tahukah anda bahawa pendedahan berlebihan terhadap gajet pada usia kecil boleh mempengaruhi perkembangan kognitif dan sosial kanak-kanak? Beberapa kajian menunjukkan bahawa penggunaan teknologi secara berlebihan boleh dikaitkan dengan kelewatan pertuturan, kesukaran dalam interaksi sosial, serta simptom yang menyerupai gangguan spektrum autism (ASD). Kanak-kanak yang terlalu fokus pada skrin boleh mengalami keadaan “zoned-out” di mana mereka tidak memberi perhatian pada persekitaran sekeliling. Ini boleh menyebabkan mereka kelihatan seperti berada dalam fasa “zombie,” di mana mereka lebih fokus dengan gajet dan kurang berinteraksi dengan orang di sekeliling mereka.
Definisi
Gangguan Spektrum Autisme (ASD) ialah gangguan perkembangan yang menjejaskan keupayaan seseorang untuk berkomunikasi dan berinteraksi dengan orang lain. Ia juga dicirikan oleh tingkah laku berulang dan minat yang terhad. Menurut kajian oleh Alrahili et al. (2021), pendedahan berlebihan terhadap teknologi pada usia muda boleh dikaitkan dengan simptom ASD, walaupun kanak-kanak tersebut tidak mempunyai diagnosis ASD yang sebenar.
Ciri-ciri Kanak-kanak Yang Mengalami Simptom Seperti ASD
Walaupun kelihatan sihat, kanak-kanak yang terlalu banyak menggunakan gajet mungkin menunjukkan tanda-tanda berikut:
- Kurang interaksi sosial: Kanak-kanak sukar untuk berkomunikasi dengan orang luar, kurang minat untuk bermain dengan rakan sebaya, dan cenderung mengasingkan diri.
- Kelewatan dalam perkembangan bahasa : Kanak-kanak mengalami kesukaran dalam bertutur atau memahami arahan.
- Tumpuan yang berlebihan pada skrin : Lebih banyak menghabiskan masa dengan gajet dan kurang berminat terhadap aktiviti fizikal atau interaksi sosial.
- Sukar memberi tumpuan dalam pembelajaran : Kurang fokus dalam kelas atau aktiviti yang memerlukan kanak-kanak berinteraksi dengan guru dan rakan sebaya.
Punca
Mengapakah kanak-kanak yang menghabiskan banyak masa dalam talian atau menggunakan teknologi mungkin mengalami simptom seperti ASD? Ini adalah kerana;
- Menghabiskan terlalu banyak masa dalam talian, mengurangkan interaksi sosial.
- Kurangnya komunikasi secara bersemuka menyebabkan perkembangan kemahiran sosial yang terhad.
- Ketagihan permainan dalam talian mengurangkan masa untuk bersosial dan aktiviti fizikal.
Rawatan/Tips
Terdapat beberapa cara yang boleh digunakan untuk mengurangkan serta mengelakkan ketagihan digital, misalnya;
- Pilih kandungan media yang sesuai untuk tontonan kanak-kanak.
- Hadkan masa penggunaan teknologi bagi memastikan keseimbangan aktiviti harian.
- Elakkan menggunakan gajet sebagai alat menenangkan kanak-kanak untuk mengelakkan ketergantungan.
- Galakkan aktiviti luar dan permainan fizikal bagi meningkatkan kemahiran sosial dan fizikal.
- Didik kanak-kanak tentang kesan buruk penggunaan teknologi secara berlebihan supaya mereka lebih bertanggungjawab dalam penggunaannya.
- Mengamalkan peraturan 20-20-20 : setiap 20 minit penggunaan skrin, berehat, dan lihat sesuatu pada jarak 20 kaki selama 20 saat untuk melindungi mata daripada ketegangan digital
Teknologi dan gajet memberikan banyak manfaat dalam kehidupan seharian, tetapi penggunaannya yang berlebihan boleh memberi kesan negatif terhadap perkembangan kanak-kanak, termasuk simptom yang menyerupai ASD. Jika penggunaan gajet dalam kehidupan harian kanak-kanak tidak dikawal, mereka mungkin sering berada dalam fasa “zombie”, di mana mereka terlalu fokus pada skrin dan kurang peka terhadap persekitaran sekeliling serta interaksi sosial yang penting untuk perkembangan mereka. Oleh itu, kita, terutamanya ibu bapa dan pendidik perlu memainkan peranan penting dalam mengawal pendedahan teknologi kepada anak-anak. Dengan menetapkan had masa skrin, menggalakkan aktiviti fizikal, dan memastikan interaksi sosial yang mencukupi, kita dapat membantu memastikan perkembangan kanak-kanak yang lebih sihat
Jiwadamai juga boleh membantu anda dalam isu psikologi yang dihadapi daripada peringkat kanak-kanak sehinggalah ke dewasa sama ada ia isu kesihatan mental mahupun isu perkembangan kanak-kanak secara holistik kerana ahli klinikal kami terdiri daripada Pakar Psikiatri, Pakar Psikiatri Kanak-Kanak, Psikologis Klinikal, ahli terapi cara kerja (occupational therapist), dan juga ahli terapi pertuturan (speech therapist).
Jikalau tidak keberatan, anda boleh hubungi kami melalui talian 017 269 4852 (hotline isu dewasa) dan 011 5430 8949 (hotline isu kanak-kanak & remaja) dan lakukan janji temu bersama kami. Kami sedia membantu anda.