Psikopati adalah gangguan mental yang sering didengar di laman sosial, filem dan juga novel remaja. Menurut kajian, psikopati pada tahap yang teruk menjejaskan hanya kira-kira 1% dari kalangan masyarakat, namun beberapa kajian lain turut menunjukkan bahawa hampir 30% daripada masyarakat mempunyai sifat-sifat psikopat.
Istilah ‘psikopat’ digunakan untuk menggambarkan seseorang yang tidak berperasaan, tidak beremosi, dan berkelakuan buruk. Walaupun bukan diagnosis kesihatan mental rasmi, ia sering digunakan dalam urusan klinikal dan undang-undang untuk merujuk kepada seseorang yang kerap bersikap egosentrik, antisosial, kurang penyesalan dan empati terhadap orang lain, dan sering mempunyai kecenderungan jenayah.
Banyak ciri psikopati bertindih dengan gejala gangguan personaliti antisosial yang digunakan untuk menggambarkan orang yang bertindak secara keteraluan dan melanggar peraturan. Tetapi hanya sebilangan kecil individu yang mengalami gangguan personaliti antisosial dianggap sebagai psikopat.
Tingkah laku psikopat sangat berbeza antara satu individu dengan individu yang lain. Orang yang mempunyai sifat psikopat tidak semestinya terlibat dalam tingkah laku psikopat. Ada yang menjadi pesalah seksual dan pembunuhan manakala ada juga yang menjadi pemimpin berjaya. Hal ini kerana terdapat kajian yang menyatakan bahawa ciri-ciri psikopat wujud dalam pemimpin yang berkaliber kerana mereka mempamerkan sifat kurang penyesalan dan manipulatif. Oleh itu, penting untuk membezakan antara psikopat dan seseorang yang mempunyai sifat psikopat.
Ciri-Ciri Psikopat
Berikut merupakan ciri-ciri psikopat:
- Pembohongan patologi
- Manipulatif
- Kurang Menyesal
- Kurang Empati
- Impulsif
Seorang psikopat sering menunjukkan sifat dan tingkah laku yang dingin, manipulatif, antisosial dan ‘narcissistic’. Kecenderungan ini telah dikaitkan dengan pengalaman awal kanak-kanak, termasuk penganiayaan, penolakan, dan kekurangan kasih sayang ibu bapa. Walau bagaimanapun, punca sebenar masih tidak dapat difahami dengan baik.
Psikopat dapat dibantu dengan sokongan profesional kesihatan mental sebelum ia memberi impak negatif kepada diri dan juga orang sekeliling. Jika anda atau orang yang tersayang bimbang mengenai isu ini, hubungi kami hari ini untuk mendapatkan konsultasi bersama psikologis klinikal.