Kenapa Anak Saya Suka Buat Perbuatan Berulang-Ulang?

Gambar Blogpost Kenapa Anak Saya Suka Buat Perbuatan Berulang-Ulang?

Overview:

Stimming or \’self stimulatory behaviour\’ is defined as repetitive behaviour or repetition of physical movements, sounds, words, or moving objects. It is almost always present in those with Autism, but note that these actions don’t automatically mean a child has Autism Spectrum Disorder(ASD). Most of the time, stimming helps them to self regulate, to self-sooth or keep their mind occupied.

Melakukan sesuatu perbuatan secara berulang kali (stimming) merupakan sesuatu yang signifikan bagi kebanyakan kanak-kanak Autisme sehinggakan ia diangkat sebagai salah satu kriteria penting untuk dinilai di dalam Diagnostic Statistical Manual terbaru (DSM-5). Ramai yang tidak mengetahui apakah punca berlakunya stimming malahan lebih teruk lagi apabila ramai yang menyalah anggap ianya sebagai satu bentuk tingkah laku negatif dan tidak patut dilakukan.

Namun, adilkah kita menghakimi situasi tersebut tanpa menyelidiki dahulu sebabnya?

Stimming; Normal atau Tidak?

Tahukah anda, sebenarnya hampir setiap daripada kita ada perbuatan stimming ini. Tak percaya? Cuba ingat balik, apa yang anda akan buat bila anda bosan, cemas ataupun tertekan? Ada sesetengah daripada kita yang akan menggigit kuku, bermain-main dengan rambut atau mengetuk-ketuk meja tanpa kita sedari.

Stimming ini boleh menjadi kebiasaan sehingga menjadi satu tabiat tanpa anda sedari. Kebanyakan daripada kita, perbuatan ni adalah tidak merbahaya dan anda boleh menyedarinya bilamana ianya dalam keadaan yang kurang sesuai. Contohnya, anda mengetuk-ngetuk meja ketika bosan. Namun, apabila anda perasan ianya mungkin mengganggu orang lain, anda akan berhenti melakukannya.

Menurut Dr. Ed, seorang Pakar Kanak-Kanak di Texas Tech Health Sciences Center,

“Sebenarnya ada beberapa jenis stimming yang biasa dilakukan dan ianya penting dalam perkembangan kanak-kanak. Saya bagi contoh seperti menghisap jari. Perbuatan ini biasanya berulang dan lebih kepada bertujuan untuk menenangkan diri mereka ataupun untuk menjadikan minda mereka lebih fokus.

Adakalanya perbuatan ini boleh dikatakan normal bagi seorang kanak-kanak, tetapi ia juga boleh menjadi tidak normal bagi kanak-kanak yang lain. Perlu difahami, tingkahlaku kanak-kanak ini ada pelbagai macam dan dengan stimming sahaja tidak menjadikan anak tersebut automatik mengalami Autisme.”

Namun, bagi mereka yang mempunyai Autisme, stimming mungkin akan nampak lebih ketara dan pada kebanyakan masa, mereka tidak sedar bahawa ia mungkin mengganggu kefungsian dirinya dan juga mengganggu orang lain.

Jenis-jenis Stimming

‘Stimming’ adalah singkatan bagi ‘self-stimulatory behavior’ atau tingkah laku yang sengaja dilakukan untuk memberikan rangsangan pada pancaindera tertentu. Kelakuan ini adalah sangat bergantung kepada adaptasi seseorang individu itu. Ada sesetengah individu yang terlalu sensitif, maka stimming itu akan lebih kerap berlaku dan ada yang sebaliknya.

Terdapat beberapa  jenis kelakuan stimming yang juga mempunyai istilah yang lain, contohya,

  • Echolalia – Ini merupakan pengulangan semula perkataan yang didengarinya daripada orang lain ataupun perkataannya sendiri.

Contohnya, Iman mendengar atuknya meminta nenek membuat kopi.

            Atuk : “Neknya, tolong buatkan kopi satu”

            Iman : “Neknya, tolong buatkan kopi satu” (Iman mengulanginya dengan sengaja)

Dari sudut pemikiran mereka, kita perlu faham bahawa, cara otak mereka memproses informasi adalah tidak semudah seperti angin lalu di dalam otak kita. Mereka bukan mengulangnya kerana mereka tidak faham, mereka bahkan faham apa yang diperkatakan, cuma mereka lambat untuk memprosesnya dan itu adalah salah satu cara untuk mereka belajar mengingati sesuatu.

Naoki Higashida, dalam buku The reason I jump, cuba untuk menterjemahkan pengalamannya sebagai seorang yang mempunyai Autisme;

“Prosesnya sangat kompleks, apabila saya dengar soalan atau apa-apa perkataan, saya akan mengulangnya kerana saya mudah lupa. Bila mendengarkan perkataan tersebut, saya perlu ‘scan’ ingatan saya untuk mencari kembali pengalaman lepas yang berkaitan dengan apa berlaku sekarang; apa yang hendak disampaikan sebenarnya.

Bila saya dah jumpa satu kemungkinan padanan cerita yang terdekat, saya akan masuk ke peringkat seterusnya. Di sini, saya perlu ingat kembali apa respon yang saya pernah (patut) berikan. Kalau saya bertuah, saya jumpa jawapan yang betul, bersesuaian dan dapat meneruskan perbualan seperti biasa. Sekiranya berlaku sebaliknya, saya rasa seperti dihujani dengan perasaan tidak berguna dan konklusinya perbualan itu tidak dapat diteruskan. Dan pengalaman ini sangat teruk, terutama sekali apabila dikaitkan dengan isu perasaan”

Anda nampak, apa yang sebenarnya berlaku di sebalik satu soalan mudah yang ditanya kepada mereka?

Hakikatnya, lidah kita luncur laju bergerak berkata- kata dengan mudah, tetapi bagi mereka, untuk bercakap itu adalah sesuatu yang perit dan sukar.

  • Penglihatan – merenung lampu, berkelip banyak kali, menggerakkan jari di hadapan mata berulang kali, atau merenung objek yang berpusing.
  • Pendengaran – mendengar lagu yang sama berulang kali, atau membuat bunyi yang sama berulang kali. Mengetuk atau menutup telinga banyak kali atau memetik jari
  • Sentuhan – menggosok atau menggaru kulit dengan tangan atau dengan objek lain
  • Rasa/bau – Menghidu objek atau orang, menjilat atau mengunyah sesuatu; yang biasanya bukan objek yang boleh dimakan   
  • Proprioception – Kebolehan badan kita untuk tahu dan rasa apa dan di mana anggota tubuh badan kita. Cuba pejamkan mata anda, angkat jari telunjuk sebelah kanan, kemudian cuba genggam jari tersebut menggunakan tangan sebelah kiri. Anda pasti dapat membuatnya walaupun mata anda tertutup dan tidak dapat melihat di mana sebenarnya kedudukan jari anda sebentar tadi. Itulah kemahiran proprioception. Kanak-kanak ini kebanyakannya suka naik buaian, berpusing-pusing, melompat-lompat, berjengket.

Kenapa stimming berlaku?

Ibu bapa perlu faham, bahawa stimming ini adalah satu bentuk survival untuk mengawal diri mereka, mengawal emosi mereka dan juga untuk menelah informasi di sekeliling mereka. Ia akan lebih ketara dilihat, apabila mereka terdedah dengan situasi yang menekan mereka, situasi yang baru dan tidak biasa dalam rutin kehidupan mereka.

Itu adalah salah satu cara mereka untuk mengurangkan stress atau tekanan yang dihadapi, jadi tidak sepatutnya ibu bapa bertindak untuk menghalang atau cuba untuk mengurangkan perlakuan tersebut.

Namun begitu, ibu bapa perlu sentiasa memerhatikan mereka agar ia berlaku dalam keadaan yang terkawal. Ini kerana, ada juga bentuk-bentuk stimming yang berbahaya dan mencederakan diri sendiri seperti hentak kepala berulang kali ke dinding atau menumbuk diri sendiri.  

Rujukan :

  • Toran, H. (2017). Autisme; Panduan Ibu Bapa.Ryadh
  • https://www.healthline.com/health/autism/stimming
  • https://childmind.org/article/autism-and-stimming/
  • https://www.appliedbehavioranalysisedu.org/what-is-stimming/
  • https://www.ambitiousaboutautism.org.uk/information-about-autism/behaviour/repetitive-behaviours-and-stimming
  • https://www.carautismroadmap.org/stimming-what-is-it-and-does-it-matter/

[njwa_button id="9314"]

Kongsikan artikel ini

Facebook
Twitter
WhatsApp