Hari ini saya nak kongsi tentang satu lagi aktiviti mudah yang ibu bapa boleh buat bersama anak di rumah untuk ajar anak bercakap. Kebanyakan anak sangat gemar bermain dengan Lego. Ada anak yang akan main susun-susun lego, ada anak yang akan buat robot, ada anak yang hanya belek-belek sahaja lego tersebut.
Kemahiran bermain lego adalah satu kemahiran bermain secara konstruktif. Ianya sangat penting untuk melatih kreativiti, kemahiran penyelesaian masalah dan imaginasi anak. Tapi, kali ini saya nak pandu ibu bapa untuk bermain sambil memberi rangsangan bahasa anak di rumah.
Antara teknik dan strategi yang saya gunakan semasa sesi ‘speech therapy’ adalah:
1. Simpan lego di dalam bekas
Tujuan menyimpan lego ke dalam bekas bukan sahaja untuk pastikan mainan anak kemas, tapi untuk menggalakkkan lagi anak berinteraksi dengan kita. Hal ini kerana anak perlu meminta bantuan daripada ibu bapa untuk membuka bekas tersebut. Jika kita terus berikan saja mainan tersebut kepada anak, anak tidak perlu lagi berinteraksi atau meminta dari ibu bapa.
“Wah tengok Ibu ada mainan”
“Ada lego, banyaknya lego”
“Jom buka”
Selain mengajar anak menyimpan mainan, di sini kita boleh ajar anak perbendaharaan kata “buka” dan “tutup” bekas mainan tersebut.
2. Berikan masa dan signal untuk anak meminta
Selepas buka bekas tadi, elakkan memberi anak kesemua lego sekaligus. Keluarkan sedikit sahaja. Ini kerana kita boleh gunakan peluang ini untuk galakkan anak meminta lego tersebut daripada kita. Ibu bapa boleh target anak untuk meminta dengan menyebut “nak” ataupun membuka tapak tangannya. Langkah pertama adalah ibu bapa perlu tunggu terlebih dahulu untuk anak minta. Jika anak tidak minta, boleh mengacah seperti,
“Mama ada lego”
“Ali nak lego?”
3. Galakkan tumpuan bersama dan ambil giliran semasa bermain
Tumpuan bersama atau ‘joint attention’ ini adalah satu kemahiran yang sangat penting untuk anak menguasai bahasa dan pertuturan dengan lebih baik. ‘Joint attention’ ini bermaksud anak memberi tumpuan terhadap objek yang sama dengan ibu bapa atau orang yang berkomunikasi dengannya. Ketika bermain lego ini, anak akan memberikan tumpuan bersama untuk menyiapkan lego tersebut.
Selain itu, galakkan bermain mengambil giliran dengan anda untuk meletakkan lego.
Ibu bapa boleh tunggu dan tanya anak,
“Giliran siapa?”
“Okay, giliran Papa pula” untuk memastikan anak memahami bahawa dia perlu mengambil giliran semasa bermain.
4. Tambahkan kefahaman dan input bahasa
Ramai ibu bapa tidak tahu bagaimana lego mampu menambah input bahasa anak-anak. Kebanyakan ibu bapa memberitahu bahawa mereka akan berdiam diri sahaja ketika bermain lego dengan anak-anak. Bila anak mula letak lego, ibu bapa pun akan letak lego bersama tanpa memberi input bahasa. Nak tahu bagaimana bahasa yang kita boleh praktikkan ketika bermain lego?
Antaranya begini:
“Wahhh banyaknya lego Ali.”
“Mama letak dulu. Ayah letak pula. Okay Ali… letak. Yeayyy!”
“Papa ada lego biru dan merah. Ali ada lego warna apa?” “Jom buat robot sama-sama.”
“Wahhh tinggilah lego Ali. Jom kita tolak lego ni.”
“Papa pasang lego kuning. Ali pasang lego hijau.”
“Papa cabut lego…eeyahh”
Selain daripada contoh di atas, kita juga boleh mengajar anak pelbagai konsep lain seperti mengenal warna, konsep saiz, kuantiti, preposisi kedudukan (atas/bawah) dan banyak lagi untuk yang boleh diberi semasa bermain dengan anak. Sebab itulah pentingnya ibu bapa untuk bermain bersama-sama dengan anak.
5. Tingkatkan daya imaginasi anak-anak
Bermain lego memerlukan imaginasi yang tinggi. Mereka perlu membayangkan dan memikirkan apa yang mereka mahu bina. Kebiasaannya, anak-anak mula berimaginasi ketika bermain seawal usia 3 tahun. Bermula dengan bentuk yang mudah sehinggalah bentuk yang lebih kompleks.
Daya imaginasi yang tinggi mampu meningkatkan perkembangan otak dengan bagus. Ini akan menjadikan anak-anak lebih kreatif dan berfikiran jauh. Ibu bapa mampu memberikan stimulasi bahasa menggunakan bahasa lebih kompleks apabila anak-anak mempunyai imaginasi yang bagus.
“Kita nak buat rumah guna lego.”
“Jom buat sebuah bandar dan perkampungan guna lego.”
“Kalau buat tembok tinggi sekeliling istana kita bagus juga kan?”
Ini antara strategi mudah yang boleh kita aplikasikan semasa bermain dengan anak. Gunakan kreativiti anda supaya anak seronok bermain dengan kita. Apa yang penting adalah kita bermain dengan cara yang betul agar dapat memberi input kepada anak. Selamat mencuba!
Apa yang boleh anda lakukan sekiranya anda merasakan anak anda mungkin menghidapi kondisi lewat pertuturan? Jangan berlengah, bawa anak anda untuk berjumpa dengan pakar bagi tujuan diagnosis.
Pusat Pakar Psikologi Jiwadamai, Shah Alam menyediakan penilaian untuk diagnosis, terapi pertuturan dan juga carakerja untuk kanak-kanak yang memerlukan.
Kami juga menyediakan silibus Early Intervention Programme (EIP). Program ini adalah satu program yang dirangka khusus dan holistik bagi membantu kanak-kanak yang mempunyai kelewatan perkembangan yang memerlukan intervensi awal sebagai persediaan sebelum memasuki alam persekolahan. Hubungi kami untuk maklumat lanjut.
Penulis ialah Nur Amirah binti Mat Ghani, terapis pertuturan tetap di Jiwadamai.