‘Ibu Meroyan’: Fakta atau Auta?

Gambar Blogpost ‘Ibu Meroyan’: Fakta Atau Auta?

Pada tanggal 11 September 2019, bumi nusantara telah digemparkan dengan berita pembunuhan seorang bayi berusia tiga bulan oleh ibunya sendiri. Menurut laporan, ayah mangsa mendakwa menjumpai mangsa terbaring bersebelahan suspek (ibu mangsa) dan terus membawa mangsa mendapatkan rawatan selepas mendengar ibu mangsa mendakwa bahawa dia telah “membawa anak (mangsa) ke syurga”. Pihak polis tidak menolak kemungkinan suspek ditimpa masalah kemurungan dan ‘ibu meroyan’ sehingga berakhir dengan peristiwa yang menyayat hati itu.

Istilah ‘ibu meroyan’ merupakan satu istilah umum yang digunakan oleh masyarakat setempat bagi merujuk kepada gangguan emosi yang menimpa ibu yang baru bersalin. Dalam istilah perubatan, istilah ‘ibu meroyan’ sebenarnya merujuk kepada beberapa masalah psikiatri, termasuk ‘post-partum blues’; ‘post-partum depression’; serta ‘post-partum psychosis’. 

Kejadian ‘ibu meroyan’ ini boleh menimpa mana-mana ibu yang baru bersalin. Gejala dan petanda yang ditunjukkan penghidapnya berbeza dari sudut keterukannya. Sesetengah orang mengalami gejala yang sedikit sahaja dan masih mampu berfungsi dengan baik, manakala sebilangan pesakit akan menunjukkan gejala serta petanda yang lebih teruk. Sebarang gangguan emosi terhadap ibu yang baru bersalin wajar diberikan sepenuh tumpuan untuk mengenalpasti punca masalahnya. Masalah ini dikatakan berpunca daripada interaksi kompleks antara perubahan hormon dalam badan; trauma kelahiran tersebut; serta bebanan tanggungjawab yang perlu dipikul.

Perbezaan istilah ‘post-partum blues’; ‘post-partum depression’; serta ‘post-partum psychosis’.

‘Post-partum blues’ secara ringkasnya ialah masalah gangguan emosi serta gejala kemurungan yang minimum. Gejala dan petanda kemurungan akan menimpa pesakit, tetapi tidaklah mencukupi untuk membuat diagnosis kemurungan klinikal. Fungsi harian mereka yang menghidap masalah ini juga kebiasaannya tidak terjejas teruk. Kebanyakan masalah ‘post-partum blues’ tidak dapat dijumpai faktor penyebabnya. Dari segi gejala, jika dibandingkan dengan kemurungan klinikal, perasaan bersalah untuk kondisi ini adalah jarang sekalipun perasaan tersebut muncul, penghidap tidak akan sampai ke tahap untuk membunuh diri serta mencederakan bayi yang baru lahir. Kebiasaannya, masalah ini berlaku tiga atau lima hari selepas bersalin dan kebanyakannya akan sembuh dengan sendirinya dengan hanya menggunakan khidmat nasihat serta bimbingan kaunseling dan sokongan tanpa memerlukan sebarang ubat. Setakat ini, bukti-bukti kukuh yang mengaitkan antara ‘post-partum blues’ dengan ‘post-partum depression belum dijumpai, maka kedua-dua masalah tersebut dianggap sebagai entiti yang berasingan.

‘Post-partum depression’ pula merupakan diagnosis kemurungan klinikal, dimana pesakit akan menunjukkan gejala serta petanda kemurungan seperti kesedihan melampau yang berterusan selama dua minggu atau lebih; hilang perasaan minat untuk sebarang aktiviti; gangguan tidur; hilang selera makan atau berat badan yang banyak; kesukaran menumpukan perhatian; keletihan dan kelesuan yang berpanjangan; perasaan bersalah yang melampau; perasaan ingin membunuh diri atau perubahan pergerakan motor badan. Gejala-gejala serta petanda-petanda ini kebiasaannya muncul sedikit lambat, dalam lingkungan tiga hingga enam bulan selepas bersalin. Perasaan ingin bunuh diri serta mencederakan bayi yang baru lahir adalah lebih kerap. Saringan penyakit kemurungan haruslah dilakukan jika gejala kesedihan itu berpanjangan dan rawatan segera haruslah diberikan jika terbukti diagnosis.

‘Post-partum psychosis’ pula merupakan penyakit psikiatri yang mempunyai ciri-ciri psikosis seperti halusinasi serta delusi. Penyakit ini mempunyai perkaitan dengan masalah kemurungan klinikal yang teruk serta penyakit ‘bipolar mood disorder’. Gejala serta petanda penyakit ini akan muncul dalam lingkungan tiga minggu selepas bersalin, dan hampir sentiasa akan muncul dalam tempoh masa lapan minggu selepas bersalin. Gejala dan petanda awal termasuk keletihan; kegelisahan; kesusahan tidur; gangguan emosi serta kerap menangis. Gejala dan petanda yang lebih teruk seperti halusinasi; delusi tentang ketidaksempurnaan anak serta perbuatan dan percakapan yang tidak relevan akan menyusul kemudian. Nyawa pesakit serta anak akan berada dalam bahaya disebabkan gangguan delusi serta halusinasi suara atau kelibat bayangan yang akan mendorong si ibu untuk mencederakan dirinya atau anaknya sendiri. Kelahiran serta status sebagai ibu bahkan status perkahwinan juga boleh dinafikan oleh pesakit disebabkan delusi mereka. ‘Post-partum psychosis’ mempunyai perkaitan dengan sejarah penyakit psikiatri dalam diri serta dalam sejarah keluarga. Rawatan serta perhatian segera oleh pakar sangat penting bagi mengelak sebarang kecederaan atau kehilangan jiwa daripada berlaku.

Adakah Situasi Si Ibu Akan Memberi Kesan Kepada Si Anak?

Di dalam beberapa kajian baru-baru ini, \”Postpartum maternal depressive mood may be more specific to ASD, while shorter duration of breastfeeding may be related to ADHD\” (Castejeon et al, 2018). Terdapat juga disebut di dalam kajian itu yang menyatakan bahawa, kemurungan selepas bersalin ini boleh menjadi salah satu risiko kepada bayi ADHD.

Peranan Suami dan Keluarga Terdekat dalam menangani ‘Ibu Meroyan’

Proses rawatan ‘ibu meroyan’, sebagai satu penyakit psikiatri, seharusnya mengambil kira segenap aspek penyakit, yang merangkumi faktor biologi, psikologi, sosial serta kerohanian. Selain dari pengambilan ubatan untuk mempercepat proses rawatan bagi yang memerlukan ubatan, peranan seorang suami dan ahli keluarga terdekat tidak boleh dipandang sebelah mata. Sebuah kajian yang dijalankan oleh Misri et al (2000) mendapati gejala kemurungan yang dihidapi pesakit semakin berkurangan bersesuaian dengan kadar sokongan dari teman hidup pesakit. Sebagai seorang suami, adalah menjadi tanggungjawab mereka untuk sentiasa melindungi ahli keluarga mereka dari segala bahaya. Para suami juga seharusnya memainkan peranan bagi meringankan beban si isteri dalam penjagaan anak kecil. Hal ini demikian kerana trauma semasa kelahiran serta ketidakseimbangan hormon si ibu sudah cukup membebankan fikiran mereka.

‘Ibu Meroyan’: Sebuah Kesimpulan

Sebagai natijah, perempuan yang baru bersalin berada dalam risiko yang lebih tinggi untuk masalah afektif, terutamanya kemurungan klinikal serta penyakit ‘bipolar mood disorder’. Justeru, perubahan emosi yang berlaku terhadap ibu selepas bersalin tidak harus dipandang enteng kerana boleh jadi perubahan tersebut adalah antara gejala serta petanda masalah ‘ibu meroyan’. Buat ibu di luar sana, dapatkan nasihat pakar jika anda mengalami gejala serta petanda ‘ibu meroyan’. Buat ahli keluarga dan suami, sokongan yang padu daripada anda sangat penting untuk mempercepat proses rawatan pesakit yang mengidap ‘ibu meroyan’ di samping pengambilan ubat-ubatan. 

Penulis : Muhammad Aqlan bin Mohd Zaki

Sumber rujukan:

  • Chamberlain, G. (2011). Obstetrics by Ten Teachers (19th ed., pp. 278-280). Arnold.
  • Misri, S., Kostaras, X., Fox, D., & Kostaras, D. (2000). The Impact of Partner Support in the Treatment of Postpartum Depression. The Canadian Journal Of Psychiatry45(6), 554-558. https://doi.org/10.1177/070674370004500607
  • Sadock, B. (2010). Synopsis of Psychiatry (11th ed., pp. 839-840). Lippincott Williams & Wilkins.
  • Shamsuddin, N., & Ilham, R. (2019). \’Saya sudah hantar anak ke syurga\’. Harian Metro. Retrieved 15 December 2020, from https://www.hmetro.com.my/utama/2019/09/495625/saya-sudah-hantar-anak-ke-syurga.
  • Castejón OJ, Galindez P, Torres IA, Leal J, Villasmil A, Grumbaum E, Salones de Castejón M. Maternal Stress, Pregnancy Diseases and Child Hyperactivity and Attention Deficit (ADHD). Biomed J Sci & Tech Res 12(2)-2018. BJSTR. MS.ID.002228. DOI: 10.26717/BJSTR.2018.12.002228.
[njwa_button id="9314"]

Kongsikan artikel ini

Facebook
Twitter
WhatsApp