Apa yang perlu saya buat sekiranya fikiran untuk membunuh diri datang?
Ramai orang mungkin mengalami satu detik dalam kehidupan di mana fikiran untuk lebih baik mati menjengah minda. Andai anda adalah antara orang yang mempunyai fikiran tersebut, ketahuilah anda tidak berseorangan. Terdapat beberapa tips yang boleh dipraktikkan:
- Jauhkan objek yang berbahaya daripada diri
- Makan ubat-ubatan yang diarahkan doktor seperti biasa sekiranya ada
- Jauhi alkohol atau dadah
- Dapatkan bantuan
- Cari orang yang boleh dipercayai untuk anda luahkan perasaan. Anda juga boleh menghubungi khidmat helpline seperti Befrienders: 03-76272929
- Teruskan berharap. Setiap masalah pasti ada penyelesaiannya yang tersendiri. Kesakitan yang sedang anda alami ini ialah sementara. Ramai orang yang pernah berada di tempat anda dan berjaya mengatasinya. Kenapa tidak anda?
- Sekiranya fikiran untuk melakukan percubaan terlalu kuat, hubungi talian kecemasan atau pergi ke Jabatan Kecemasan hospital terdekat dengan segera
Bagaimana mahu mengelak fikiran itu berulang?
Ada kemungkinan seseorang mempunyai pemikiran untuk mengakhiri hidup tetapi tidak melakukan perbuatan tersebut. Walau bagaimanapun, ianya tetap perlu diambil serius dan memerlukan pelan tindakan yang baik bagi mengelakkan perkara yang sama berulang.
- Kenal pasti trigger, perkara yang mencetuskan pemikiran dan keinginan untuk mati.
- Berusaha untuk menjauhi perkara tersebut. Contohnya, kawan yang negatif, tempat yang dipenuhi memori pahit dan sebagainya
- Elakkan menyimpan perasaan kepada diri.
- Cari cara atau sosok peribadi yang boleh dijadikan sebagai tempat luahan perasaan. Contohnya, menulis dalam diari. Bukan sahaja anda dapat mengurangkan beban perasaan tetapi anda juga dapat lebih memahami kenapa anda berfikiran untuk menamatkan hidup. Dengan memahami diri, solusi yang terbaik dapat dirancang
- Belajar cara menguruskan stres dengan baik
- Rangka dan patuhi rutin kehidupan anda
- Jaga pemakanan, lakukan senaman dan pastikan tidur anda berkualiti
- Jauhi alkohol dan bahan-bahan terlarang
- Lakukan perkara yang anda suka dan nikmati.
- Contohnya, melukis, membaca buku cerita atau bersiar-siar.
- Senaraikan beberapa sasaran peribadi dalam hidup.
- Ia tidak semestinya perkara yang besar dan drastik. Melalui kejayaan mencapai sasaran-sasaran ini, anda akan termotivasi sedikit demi sedikit. Contohnya, mahu membaca sekurang-kurangnya 1 halaman buku setiap hari, mahu menegur jiran sebelah rumah sekali seminggu dan sebagainya.
- Bina jaringan sosial yang anda percaya.
- Anda tidak perlu keseorangan dalam melawan kesakitan ini. Jaringan yang luas jugak dapat memelihara anda daripada meneruskan niat bunuh diri atau perkara yang mungkin ada sesali.
- Dapatkan rawatan dan pandangan daripada golongan professional.
- Meminta pertolongan tidak bermaksud anda lemah.
- Bersabar, tidak terburu-buru atau putus asa
- Beri masa kepada diri. Jangan bandingkan diri anda dengan orang lain. Walaupun anda rasa sangat teruk pada sesuatu masa, percayalah ianya akan berlalu pergi. Anda boleh lakukannya
Apa peranan kita?
Tema yang diguna pakai oleh International Association of Suicide Prevention (IASP) selama tiga tahun berturut-turut cukup menjawab soalan di atas: working together to prevent suicide atau berkerjasama dalam mencegah bunuh diri. Ini bukan masa untuk mencari salah, menunding jari mahupun menghakimi individu dan keluarga yang berhadapan dengan isu ini. Setiap daripada kita ada tugas yang perlu dan mampu dilaksanakan
- Jauhi stigma dan bantu untuk tingkatkan kesedaran masyarakat
- Peka dengan tanda-tanda dan risiko bunuh diri orang sekeliling
- Wujudkan kebersamaan dan tunjukkan empati
- Tanya khabar dan tanyakan tentang isu bunuh diri. Mengikut kajian, bertanya tentang bunuh diri tidak meningkatkan risiko. Dengan bertanya, kita menunjukkan kepedulian kita.
- Jadi pendengar yang baik. Tidak menghakimi tetapi cuba memahami
- Beri semangat dan dorongan untuk mereka mendapatkan rawatan
Apa tindakan ketika berhadapan cubaan bunuh diri oleh orang sekeliling?
- Dapatkan pertolongan. Hubungi nombor telefon kecemasan, 999
- Jauhkan objek yang membahayakan seperti pisau, ubatan dan sebagainya
- Temani individu tersebut
- Berkomunikasi dengan individu itu.
- Bercakap dengan nada yang tenang dan yakin
- Pinjamkan telinga dan hati untuk mendengar
- Mengakui perasaan yang sedang mereka alami. Elakkan daripada menampakkan isu yang sedang mereka hadapi itu remeh
- Elakkan daripada berbalah, menjerit, mengugut, menghakimi atau sebarang kata-kata yang menyinggung perasaan.
- Tawarkan untuk bantu mereka dapatkan rawatan
Peringatan: Kita mungkin dimarahi dan ditentang oleh seseorang yang sedang membuat cubaan bunuh diri. Mereka sedang menderita dan mempercayai bahawa jalan yang sedang dipilh itu yang terbaik untuk mengakhiri kesengsaraan yang dialami. Natijahnya, mereka mungkin hilang pertimbangan akal yang waras. Bersabar, terus membantu dan jangan jauhkan diri.
Rawatan
Individu yang terbabit mungkin perlu dimasukkan ke dalam hospital bagi menstabilkan keadaan untuk beberapa waktu. Hal ini bergantung kepada penilaian doktor yang merawat terhadap keseriusan keadaan, risiko pesakit, isu sosial dan sebagainya.
Terdapat jugak pesakit yang dirawat di klinik psikiatri terutamanya kes yang kurang serius. Setelah penilaian yang teliti dilakukan, rawatan yang diberikan selalunya terdiri daripada ubatan dan terapi psikologi. Pesakit bebas meluahkan perasaan dan kisah yang terbuku dalam hati kepada doktor dan psikologis dan tidak perlu bimbang kerana privasi mereka terjamin. Pesakit juga akan diajar tentang cara menghadapi dan mengelakkan fikiran bunuh diri, pengurusan stress dan sebagainya.
Kesimpulannya
Fikiran atau cubaan untuk menamatkan riwayat hidup sekali-kali tidak bermaksud tiada lagi harapan untuk seseorang mencapai masa hadapan yang dimpikan. Ramai individu yang pernah membuat cubaan bunuh diri akhirnya meneruskan hidup seperti biasa. Apabila ditanya, mereka bersyukur kerana tidak meneruskan niat mengakhiri hidup. Walaupun susah, keadaan akan menjadi lebih baik. Beri masa kepada diri dalam melalui perjalanan yang panjang ini ke arah kesembuhan.
Ayuh kita cakna dan mainkan peranan masing-masing sebagai ahli masyarakat yang prihatin.
Penulis : Muhanna Mansor